Kota Kinabalu: Walaupun julung kali diadakan Kinabalu Sky Fest yang berlangsung baru-baru ini berjaya menghimpunkan belia Sabah menerusi gabungan muzik kontemporari serta persembahan kumpulan indie tempatan.
Bertemakan ‘Sky Fest: Langit Kita, Irama Kita’ penganjuran festival berkenaan bertujuan mencipta pengalaman penyatuan muzik dan budaya dalam kalangan generasi muda.
Pengerusi dan Presiden Penggiat Seni Kreatif Sabah Mariati Uttok berkata pihaknya menggabungkan konsep kontemporari dengan irama Borneo serta indie band.
“Ini sesuatu yang jarang kita dengar. Ia adalah platform untuk mendidik dan menarik minat belia agar mengenali warisan muzik kita melalui rentak baharu.
“Pendekatan baharu ini juga menggabungkan instrumen warisan seperti sekafi dan kulintangan bersama elemen muzik moden sekali gus memperkenalkan muzik tempatan dengan nafas segar kepada generasi masa kini,” katanya.
Festival terbabit menampilkan lima kumpulan muzik tempatan termasuk Tompuvan (Borneo Rhythm & Etnik), Nuetello (hip-hop), Jagoans (metal), Condamn the Corruptor (tribal punk) dan Stand instead (punk/metal).
Penyatuan pelbagai genre muzik berkenaan sekali gus menjadikan Kinabalu Sky Fest sebuah pentas muzik yang dinamik.
Dalam pada itu acara yang berlangsung di Sky Rooftop, Hotel Toojou dihadiri lebih 300 penonton
Menurut Mariati beliau yakin anak muda Sabah berpotensi besar memartabatkan seni muzik negeri ini.
“Generasi muda kita juga mampu muzik Sabah ke persada dunia melalui platform yang tepat seperti Kinabalu Sky Fest.
“Bagaimanapun program ini juga bukan sahaja menjadi ruang pendedahan kepada bakat muda malah berpotensi menjadi festival tahunan yang mengangkat nama Sabah sebagai hab seni dan budaya di rantau ini,” katanya.