SEJUMLAH RM900,000 telah diluluskan membabitkan enam projek dari Sabah di bawah Dana Pemangkin Generasi, yang dijangka mewujudkan 130 peluang pekerjaan baharu untuk belia tempatan.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata dana itu diperkenalkan kerajaan bagi melonjakkan potensi anak muda Sabah dalam bidang kreatif, merangkumi penerbitan telemovie, dokumentari dan filem pendek.
“Ini bukan sekadar angka. Ini adalah cerita kejayaan anak Sabah.
“Kerajaan percaya kepada kebolehan, semangat dan daya cipta anak muda negeri ini. Sabah adalah nadi kepada suara Malaysia.
“Dari pembikin filem pendek, pereka visual, editor video hingga ke pencerita TikTok dan Instagram – Sabah kini menjadi suara segar dan tulen dalam dunia kreatif negara.
“Dengan sokongan Finas, saya optimis Sabah berpotensi muncul sebagai hab kreatif serantau di Malaysia Timur,” katanya ketika merasmikan penutupan Bengkel Komuniti Filem & Belia Kreatif serta penyampaian surat tawaran kepada penerima Dana Pemangkin Generasi Madani di Kompleks JKKN Sabah di Kota Kinabalu, pada Sabtu.

Turut hadir, Pengerusi Finas Datuk Hans Isaac, Ahli Perbadanan Finas Rozaidi Abdul Jamil dan Pengarah Pembangunan Industri Finas Muhammad Ar-Riyyan Mohamad Roslan.
Menurutnya, sebanyak RM5 juta diperuntukkan di bawah dana itu melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi membantu pembikin muda menghasilkan karya yang menonjolkan perpaduan, keharmonian masyarakat serta nilai-nilai Malaysia Madani.
“Dana ini meliputi dua kategori iaitu telemovie atau dokumentari, serta filem pendek atau dokumentari pendek, dengan sasaran penghasilan 15 telemovie atau dokumentari dan 40 karya pendek di seluruh negara. Ia dijangka mewujudkan 1,250 peluang pekerjaan baharu serta memperkukuh daya saing industri tempatan,” katanya.
Teo berkata sebanyak 265 permohonan projek diterima di bawah dana itu 19 Ogos hingga 12 September tahun ini dan kini sedang melalui proses penilaian serta sesi pitching berperingkat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Sabah menjadi negeri pertama menganjurkan Bengkel Komuniti Filem & Belia Kreatif selama tiga hari bermula 6 November lalu.
Bengkel itu, yang memberi tumpuan kepada penyertaan dan pembangunan belia setempat, merupakan sebahagian daripada Program Belia Kreatif Komuniti Madani di bawah Belanjawan 2025, dengan peruntukan RM12 juta bagi siri latihan modal insan kreatif di seluruh negara.
“Sepanjang tempoh 15 Ogos hingga 1 September 2025, sebanyak 225 permohonan daripada persatuan dan syarikat telah diterima.
“Untuk Sabah, 11 permohonan daripada persatuan dan syarikat telah diluluskan, dengan nilai program keseluruhan RM550,000.
“Program ini juga dijangka menerima penyertaan 330 belia kreatif tempatan sepanjang tahun ini di Sabah, satu angka yang cukup membanggakan,” katanya.
Setakat ini, Teo berkata Finas telah meluluskan RM1.25 juta daripada peruntukan RM12 juta untuk melaksanakan projek perintis bengkel itu di seluruh negara tahun ini, membabitkan 25 persatuan dan syarikat di 25 lokasi.
Daripada jumlah itu, 11 program di Sabah, empat di Selangor, dua masing-masing di Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta satu masing-masing di Pahang, Kelantan, Pulau Pinang, Melaka, Kedah dan Sarawak.
Beliau turut berbangga dengan kejayaan pengarah Sabah, Ebi Kornelis menerusi filem Syurga Dalam Botol, yang mengutip RM1.7 juta sejak mula ditayangkan di pawagam pada 9 Oktober lalu.
“Saya harap kejayaan ini akan mencetuskan perkembangan positif dalam industri perfileman Sabah dan menjadi inspirasi yang membakar semangat ramai lagi anak muda kita,” katanya.
Kutipan itu menjadikan Syurga Dalam Botol sebagai filem Sabah dengan kutipan tertinggi setakat ini.