TAWAU: Gelombang sokongan anak muda di Sabah kekal utuh di belakang Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri merangkap Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor, yang disifatkan komited membela nasib golongan berkenaan.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata kebanyakan anak muda masih menaruh kepercayaan terhadap GRS kerana pelbagai inisiatif kerajaan negeri yang memberi keutamaan kepada kepentingan generasi muda.
“Mengikut maklumat risikan dan kajian kita, anak muda Sabah sebenarnya mahu melihat kepimpinan tempatan yang faham dan maklum tentang situasi di negeri ini. Sebab itu kita percaya GRS akan terus kukuh,” katanya.
Nizam berkata demikian kepada pemberita di Kampung Indrasabah, di sini, pada Isnin, bagi mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno Malaysia Datuk Akmal Salleh yang mendakwa sokongan anak muda kini semakin menyebelahi Barisan Nasional (BN).
Menurut Ketua GRS Zon 12 itu — yang meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Balung, Sri Tanjung, Merotai, Tanjung Batu, Sebatik dan Kukusan — anak muda kini semakin bijak menilai parti yang benar-benar bertanggungjawab terhadap rakyat.
“Sepanjang pentadbiran Kerajaan Negeri GRS–Pakatan Harapan (PH), banyak inisiatif yang menarik minat anak muda seperti penubuhan Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (Ikrar) bagi menjalin hubungan dan memahami aspirasi golongan muda di Sabah.
“Malah pembangunan modal insan turut dipertingkat melalui pelbagai program bimbingan dan latihan, yang menyaksikan ramai anak muda kini bekerja di pusat-pusat perindustrian,” katanya.
Beliau juga yakin langkah-langkah prihatin seperti bantuan pendidikan ‘one-off’ dan bantuan khas kepada pelajar Sabah di Semenanjung untuk pulang beraya ke kampung halaman, menunjukkan keprihatinan kerajaan — sesuatu yang tidak pernah dilakukan pentadbiran terdahulu.
Mengulas persiapan parti, penyandang kerusi DUN Apas itu berkata jentera Gagasan Rakyat sudah bersiap sedia sejak awal pentadbiran GRS–PH, melalui pendekatan konsisten turun padang menyantuni rakyat setiap minggu atau bulan.
Beliau optimis usaha berterusan itu akan membuahkan hasil dan yakin DUN Apas mampu menyumbang satu kerusi kepada GRS dalam pilihan raya negeri akan datang.
Dalam pada itu, Nizam turut memuji Kursus Jangka Pendek Membuat Sulaman Manik di Indrasabah, yang disifatkannya mampu memperkasakan ekonomi luar bandar sambil menonjolkan seni budaya pelbagai kaum di Sabah.
“Kursus sebegini bukan sahaja membuka peluang ekonomi kepada penduduk luar bandar, tetapi juga berupaya memperkenalkan adat dan budaya tempatan melalui kraftangan sebagai produk pelancongan,” katanya.
Program berkenaan dianjurkan oleh pihaknya dengan kerjasama GiatMara Tawau dan komuniti Indrasabah, disertai 20 peserta wanita dan berlangsung selama dua hari sehingga Selasa di Balai Raya Kampung Indrasabah.