PAPAR: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Pantai Manis, Datuk Seri Abdul Rahim Ismail, meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan Ketua Penerangan bahagiannya, Amri Abu Bakar, yang menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).
Beliau berkata, perkara itu hanya diketahui selepas Warisan mengumumkan penyertaan Amri menerusi platform media sosial rasminya pada Jumaat.
Menurutnya, Amri merupakan sekutu lama yang meninggalkan Umno bersamanya beberapa tahun lalu bagi memperkukuh kehadiran Gagasan Rakyat di Pantai Manis.
“Jika Amri mempunyai sebarang rasa tidak puas hati, beliau sepatutnya berbincang dengan jawatankuasa bahagian atau dengan saya sendiri.
“Tindakannya amat mengecewakan kerana selama ini bahagian tidak pernah mendengar sebarang tanda ketidakpuasan hati daripadanya.
“Sepanjang beliau dalam kepimpinan Gagasan Rakyat, Amri menunjukkan komitmen baik dan sentiasa aktif dalam pelbagai program bahagian,” katanya.
Namun begitu, Abdul Rahim berkata pihaknya menghormati keputusan Amri dan akan melantik pengganti dalam masa terdekat.
“Gagasan Rakyat Pantai Manis tidak kekurangan individu berkaliber yang boleh mengisi kekosongan jawatan itu,” katanya, menyeru semua ahli parti di Pantai Manis agar terus kekal bersatu.
“Marilah kita terus berdiri teguh di bawah panji Gagasan Rakyat dan fokus memperkukuh persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya.