Tuaran: Sabah berhasrat untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber konvensional dan beralih kepada sistem tenaga yang lebih pelbagai, lestari serta mesra alam, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajji Noor.
Menurutnya, langkah ini selari dengan Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040), yang menjadi kompas strategik dalam merancang masa depan tenaga Sabah secara holistik.
Advertisement

“Melalui usaha perluasan penggunaan tenaga boleh baharu seperti solar dan hidro, kita bukan sahaja mengimbangi campuran tenaga negeri, malah membina daya tahan yang kental dalam menghadapi cabaran global dan krisis iklim.
“Usaha ini adalah pelaburan kita untuk memastikan Sabah kekal hijau dan makmur untuk dekad-dekad akan datang,” katanya di majlis pelancaran projek solar skala besar 15MW Tuaran dan lftar Ramadan SEC di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah di Kampung Lok Batik di sini, Khamis.
Ketua Menteri berkata pelancaran projek Solar Skala Besar 15MW di sini adalah bukti jelas sinergi antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC), terutamanya Sabah Energy Corporation (SEC) dengan visi dasar negeri.
Beliau memuji SEC atas projek solar keduanya, menyusuli projek 5MW di Labuan yang membuktikan kredibiti dan kemampuan teknikal dan komersial SEC dalam menerajui sektor tenaga boleh baharu.
“Projek solar ini bukan sekadar menambah kapasiti 15 megawatt (MW) kepada sistem tenaga negeri, malah ia membawa signifikan yang lebih besar dalam transformasi struktur tenaga Sabah.
Hajiji berkata sepanjang fasa pembinaan, seramai 150 tenaga kerja akan terlibat secara langsung, termasuk tenaga kerja tempatan.
“Ini merupakan platform terbaik bagi anak watan kita menimba pengalaman industri serta menguasai pemindahan kemahiran dalam teknologi tenaga boleh baharu.
Apabila projek ini beroperasi sepenuhnya, ia dijangka mewujudkan 50 peluang pekerjaan baharu merangkumi bidang operasi, penyelenggaraan, teknikal dan sokongan pentadbiran.
“Inisiatif ini bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan isi rumah, malah memperkukuh ekosistem tenaga hijau di Sabah,” katanya. Ketua Menteri berkata projek ini memberi isyarat jelas bahawa Sabah komited memperkukuh keselamatan tenaga negeri.
“Kerajaan Negeri kekal komited dalam memperkasakan agenda pembangunan negeri kini di bawah kerangka Hala Tuju SMJ 2.0, di mana sektor tenaga berdiri sebagai nadi yang paling kritikal dalam memastikan pembangunan ekonomi berjalan seiring dengan pemeliharaan alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.