Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengumumkan bahawa Taman Botani Tun Fuad Stephens di Bukit Padang akan dibuka semula kepada orang ramai pada 27 Okt (Isnin) selepas penilaian menyeluruh terhadap tahap keselamatan dan kerja pembinaan yang sedang dijalankan di kawasan tersebut.
Pembukaan semula ini dibuat susulan Program Berjalan Pantas Pra-Pembukaan yang diadakan baru-baru ini bagi menilai keselamatan dan kesesuaian laluan joging untuk digunakan oleh orang awam.
Hasil pemeriksaan mendapati bahawa aktiviti pembinaan di sepanjang laluan joging tidak lagi melibatkan kerja-kerja berat, sebaliknya kini tertumpu kepada kerja-kerja kemasan dan pelengkap.
Sehubungan itu, laluan joging utama kini dibuka kepada orang ramai, tertakluk kepada pematuhan peraturan keselamatan dan garis panduan DBKK.
Selain itu, laluan hiking juga dibuka semula, kecuali Laluan Hiking No. 2, yang masih ditutup kerana melalui kawasan Pusat Botani yang masih dalam kerja pembinaan aktif.
Waktu operasi taman adalah dari 6 pagi hingga 7 malam setiap hari, mengambil kira kerja pembinaan yang masih dijalankan di bahagian lain taman tersebut.
Bagaimanapun, DBKK menegaskan bahawa beberapa kawasan masih ditutup sepenuhnya kepada orang awam kerana faktor keselamatan. Antara kawasan yang masih ditutup ialah Pusat Botani, Plaza Komersial, Boardwalk dan Lake Walk, Taman Konservatori dan Bamboo Corner, serta Taman Herba.
DBKK turut mengingatkan bahawa pencerobohan ke kawasan larangan adalah dilarang sama sekali, dan pihaknya tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kemalangan atau kecederaan yang berlaku akibat pelanggaran larangan tersebut.
Bagi memastikan keselamatan pengunjung, DBKK sedang memasang papan maklumat, tanda amaran dan penunjuk arah di seluruh kawasan taman.
Sementara itu, kontraktor yang bertanggungjawab terhadap Projek Pembangunan Taman Botani Tun Fuad Stephens telah dikenakan Gantirugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) sebanyak RM2,704.61 sehari, berkuat kuasa 15 Julai 2025, sehingga semua kerja pembinaan disiapkan sepenuhnya mengikut piawaian yang ditetapkan.
DBKK berharap orang ramai dapat mematuhi arahan keselamatan dan menjaga kebersihan taman bagi memastikan kelestarian dan kesejahteraan bersama.