Wed, 1 Apr 2026
Headlines:
Bapa, anak antara empat maut nahas berasingan
Published on: Wednesday, October 22, 2025
Published on: Wed, Oct 22, 2025
By: Amir Anuar, Mardinah Jikur, Ibrahim Tabir
Text Size:
Text:
Bapa, anak antara empat maut nahas berasingan
Kemalangan di Tawau.
TAWAU: Sekurang-kurangnya empat maut dalam kemalangan berasingan di sini, Beluran dan Kunak dalam tempoh 24 jam pada Selasa.

Di sini, seorang lelaki dan anak perempuannya maut selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Merotai–Tawau, berhampiran Kampung Melati Burut, di sini, awal pagi Selasa.

Advertisement
Penunggang motosikal, Muhammad Yusuf Pandang, 54, difahamkan sedang dalam perjalanan menghantar anaknya, Zurainy, 24, ke tempat kerja sebelum kejadian berlaku.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Supt Champin Piuh, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam 6.30 pagi, membabitkan kereta Perodua Axia dan motosikal Yamaha 135LC.

SPONSORED CONTENT
Kota Kinabalu: KOTA KINABALU: Fiesta Mega Raya (FMR) 2026 is set to be the largest and most prestigious Hari Raya celebration in Sabah, taking place from March 7 to 18, at the Sabah International Convention Centre (SICC), here.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 5.40 pagi apabila pemandu kereta berusia 38 tahun bersama empat penumpang sedang dalam perjalanan dari arah pusat bandar menuju ke Merotai.

“Pada masa sama, motosikal dinaiki kedua-dua mangsa bergerak dari arah Kampung Melati Burut menuju ke kawasan Ladang Guthrie sebelum bertembung oleh kereta berkenaan di lokasi kejadian,” katanya.

Advertisement
Beliau berkata, pemandu kereta dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal berkenaan.

“Impak pelanggaran menyebabkan motosikal diseret ke bahu jalan kiri manakala kereta terbabas ke kanan jalan dan terjunam ke dalam parit,” jelasnya.

Advertisement
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala pemandu serta empat penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Champin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.

Kemalangan di Beluran.Di BELURAN, seorang lelaki berusia 80 tahun ditemui maut dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di dasar gaung setinggi sembilan meter di KM75 Jalan Beluran-Telupid, pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Beluran, Supt Hasan Majid, berkata mangsa yang beralamat di Kampung Sungai Sapi, Beluran itu ditemui oleh pekerja Pan Borneo kira-kira jam 10 pagi dalam keadaan terhimpit di tempat duduk pemandu.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terbabas sendiri sebelum kenderaan dipandunya terjatuh ke dalam gaung. Mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih daripada 24 jam sebelum ditemui,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Berikutan kejadian itu, Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Hasan turut menyeru mana-mana saksi yang melihat kejadian agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Insp. Asdar Miktar di talian 011-15481071, atau menghubungi Balai Polis Beluran di talian 089-511222.

Kemalangan di Kunak.Di KUNAK, seorang wanita berusia 44 tahun maut selepas kereta Proton Wira yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kunak–Semporna, pagi Selasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kunak, Mohamad Omarbatha, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 8.46 pagi.

“Sepasukan anggota bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Ibrahim Ismail, bersama lima anggota bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai.

“Kemalangan itu melibatkan dua lori Hino tiga tan dan sebuah Proton Wira.

“Seorang wanita yang tersepit di bahagian pemandu kereta Proton dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan peralatan khas. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya, menambah mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tiga lagi penumpang Proton berkenaan yang cedera berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba dan dihantar ke Hospital Kunak untuk rawatan.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here