Kota Kinabalu: Usaha memperkukuh pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan di Sabah dalam suasana ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meningkat menjadi fokus utama Ketua Merinyu Projek Sabah (Menpro) Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Salleh yang memulakan tugas hari ini berkata pendekatan Menpro adalah selaras dengan fokus ditetapkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor untuk menyegerakan projek Persekutuan yang lewat atau tergendala, termasuk Lebuhraya Pan Borneo manakala projek kerajaan negeri hanya akan diteliti sekiranya terdapat arahan khusus daripada Ketua Menteri.
Advertisement
.gif)
Beliau berkata bagi tujuan itu, Menpro akan bekerjasama rapat dengan kementerian, jabatan dan agensi pelaksana bagi memperkukuh pemantauan projek, meningkatkan prestasi penyampaian serta memastikan projek pembangunan memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi Sabah dalam tempoh yang sewajarnya.
Menurut Salleh, pendekatan itu didorong oleh kebimbangan terhadap peningkatan kos projek, ketidaktentuan pasaran tenaga global dan cabaran ekonomi yang boleh memberi kesan kepada perbelanjaan pembangunan pada masa hadapan.
“Perkembangan geopolitik semasa, termasuk konflik yang melibatkan Amerika Syarikat dan Iran, berpotensi menjejaskan pasaran tenaga global serta rantaian bekalan antarabangsa.
“Sekiranya konflik ini berpanjangan, ia boleh menyumbang kepada tekanan inflasi serta meningkatkan kos bahan api, pengangkutan dan logistik,” katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.
Salleh berkata Menpro akan memainkan peranan untuk mengenal pasti halangan pelaksanaan, meningkatkan penyelarasan antara agensi serta mengemukakan cadangan praktikal untuk mempercepatkan pelaksanaan projek.
“Objektif kami bukan sekadar mengenal pasti masalah tetapi membantu menyelesaikannya. Tindakan awal, penyelarasan yang lebih baik dan keputusan yang tepat pada masanya adalah penting bagi memastikan projek dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya.
Pada masa sama, Salleh berkata pelaksanaan projek kini bukan lagi sekadar isu pentadbiran tetapi juga menjadi pertimbangan ekonomi yang penting, khususnya ketika kerajaan di seluruh dunia berhadapan dengan tekanan fiskal yang semakin meningkat.