TAWAU: Dua pekerja lombong emas sebuah syarikat lain di Balung didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas tuduhan melakukan pencerobohan jenayah ke atas tanah milik syarikat Southsea Gold Sdn Bhd pada Mei lalu.
Kedua-dua tertuduh Chok Kat Leong, 65, dan Romuald Peter, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.
Advertisement
.gif)
Menurut kertas pertuduhan, mereka bersama-sama dengan enam lagi masih bebas melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan lombong emas itu dengan niat mengganggu operasi pekerja membuat kerja di kawasan tersebut iaitu tanah milik Syarikat Southsea Gold Sdn Bhd, no pendaftaran (823472-U) yang boleh menimbulkan syak wasangka.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bukit Mantri Balung (CL Title No. 105681141) pada 22 Mei 2026, sekitar jam 1.30 petang.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama; memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan, atau dengan denda RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Wildan Firdaus Ahmad Fazly yang melakukan pendakwaan menawarkan jaminan RM5, 000 bagi setiap seorang tertuduh dengan dua penjamin tempatan.
Peguam Chen Wen Jye yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon agar jaminan diberikan RM1,500 setiap seorang dengan dua penjamin yang sama, memandangkan anak guamnya memberikan kerjasama penuh semasa siasatan dijalankan malah rumah mereka juga di Tawau.
Katanya, mereka adalah rakan sekerja iaitu Chok merupakan penyelia syarikat yang sudahpun bekerja selama tujuh tahun manakala Romuald sebagai juruukur kanan selama enam tahun di syarikat sama.
Mahkamah menetapkan wang jaminan RM2, 000 setiap seorang dengan dua penjamin tempatan yang berlainan ke atas kedua-dua tertuduh serta menetapkan 7 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.