Kundasang: Kerajaan bersetuju memperluaskan kelayakan subsidi diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kepada kenderaan jenis jip dan pikap bagi sektor pengangkutan darat barangan di seluruh negara bermula 1 Jun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Mei lalu.
“Sebelum ini, kemudahan untuk kenderaan jenis jip dan pikap hanya diberikan kepada sektor pengangkutan darat barangan di Cameron Highlands.
“Bagaimanapun mulai 1 Jun ini, syarikat pengangkutan darat barangan yang memiliki kenderaan jip dan pikap di seluruh negara boleh membuat pendaftaran SKDS,” katanya pada sidang media Pelarasan Had Kuota SKDS di sini, Sabtu.
Menurutnya, kerajaan turut bersetuju memperluaskan manfaat subsidi diesel kepada kenderaan jip dan pikap yang sebelum ini didaftarkan atas nama individu, tertakluk kepada kelulusan pertukaran pendaftaran kepada nama syarikat.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan individu yang terlibat dalam aktiviti pengangkutan darat barangan supaya mendaftarkan syarikat atau perniagaan masing-masing melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) atau pihak berkuasa berkaitan di Sabah dan Sarawak.
“Mereka juga perlu memenuhi syarat kelayakan lain termasuk proses pemindahan hak milik kenderaan daripada kategori individu kepada syarikat melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.
Dalam perkembangan sama, Armizan berkata pelarasan had kuota tetap bulanan bagi sektor pengangkutan darat barangan di bawah SKDS turut berkuat kuasa mulai 1 Jun depan.
Katanya, setiap fleet card yang didaftarkan di bawah SKDS akan diberikan kuota tetap bulanan mengikut kategori 23 jenis kenderaan yang ditetapkan.
“Jumlah had kuota tetap yang ditentukan ialah antara 900 liter hingga 5,000 liter sebulan bagi setiap fleet card, tertakluk kepada jenis kenderaan dan analisis penggunaan sebenar sepanjang dua tahun terkini pelaksanaan SKDS,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan pelarasan itu adalah sebahagian langkah penambahbaikan mekanisme kawal selia dan penguatkuasaan subsidi diesel bagi mengekang ketirisan serta penyalahgunaan fleet card dalam sektor pengangkutan darat barangan.
Menurutnya, kerajaan turut membuka ruang rayuan kepada syarikat atau pengusaha yang mempunyai penggunaan diesel melebihi had kuota ditetapkan.
“Permohonan rayuan boleh dikemukakan kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum (JKSP) yang diurus setia KPDN sama ada secara dalam talian melalui e-mel mysubsidi@kpdn.gov.my atau secara fizikal di kaunter KPDN berhampiran.
“Pertimbangan rayuan akan dibuat berdasarkan justifikasi keperluan operasi sebenar serta rekod penggunaan bulanan sedia ada dalam sistem SKDS,” katanya.
Dalam pada itu, Armizan berkata kerajaan akan terus menyalurkan subsidi petrol dan diesel melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan SKDS meskipun berdepan peningkatan kos subsidi akibat konflik Asia Barat dan krisis tenaga global.
Katanya, sehingga 20 Mei 2026, seramai 179,716 syarikat melibatkan 432,495 kenderaan sektor pengangkutan darat awam, pengangkutan darat barangan dan pengangkutan awam air menerima manfaat subsidi bahan api berkenaan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 19,189 syarikat melibatkan 38,817 kenderaan menerima manfaat di bawah SKPS manakala 160,527 syarikat dengan 393,678 kenderaan menerima manfaat melalui SKDS.
Armizan berkata subsidi petrol dan diesel yang ditanggung kerajaan meningkat mendadak selepas tercetusnya konflik Asia Barat pada 28 Februari lalu.
“Subsidi petrol dan diesel yang ditanggung kerajaan ialah RM1.29 bilion pada Januari dan RM1.20 bilion pada Februari 2026, namun selepas konflik bermula jumlah subsidi melonjak kepada RM5.67 bilion pada Mac lalu, iaitu peningkatan lebih 370 peratus berbanding bulan sebelumnya,” katanya.
Katanya, kerajaan komited meneruskan langkah penampan, mitigasi dan intervensi bersasar bagi mengurangkan kesan krisis tenaga global serta memastikan kesinambungan subsidi kepada golongan yang benar-benar layak.
Hadir sama, Ketua Pengarah KPDN Datuk Azman Adam dan Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam bin Shahidan.