KOTA KINABALU: Sabah kini sedang melalui transformasi besar dalam sektor tenaga dengan mengambil peranan lebih aktif sebagai pemilik dan peneraju dalam industri minyak dan gas, kata Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata menerusi SMJ Energy, Sabah mempercepatkan aktiviti huluan, mengkomersialkan penemuan sumber tenaga baharu serta memastikan lebih banyak nilai ekonomi yang dijana daripada sumber negeri dapat dikekalkan untuk manfaat rakyat Sabah.
Advertisement
.gif)
“Sabah bukan lagi sekadar pemerhati. Kita adalah pemilik, penyumbang dan pemangkin yang membentuk masa depan industri minyak dan gas negeri,” katanya pada Majlis Makan Malam Alu-aluan Persidangan dan Pameran Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis.
Masidi, yang juga Pengerusi SMJ Energy, berkata kerajaan negeri mengalu-alukan penyertaan pelabur antarabangsa dan rakan strategik menerusi kerjasama tulen yang melibatkan perkongsian teknologi, kepakaran dan modal bagi memacu pertumbuhan industri tenaga Sabah.
Katanya, kerjasama sedemikian penting dalam memperkukuh pembangunan sektor minyak dan gas negeri di samping mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.
Pada masa sama, beliau menggesa syarikat yang terlibat dalam industri itu agar memberi peluang kepada vendor tempatan, melabur dalam pembangunan bakat Sabah serta membina kerjasama jangka panjang bagi memastikan manfaat industri dapat dinikmati secara lebih meluas.
Menurutnya, penganjuran OGSE Sabah 2026 bukan sekadar pameran peralatan dan perkhidmatan minyak dan gas, malah mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuh kestabilan kewangan, meningkatkan kebebasan komersial serta mewujudkan iklim pelaburan yang lebih kukuh di Sabah.
Sehubungan itu, Masidi berkata kerajaan negeri kekal komited untuk menyokong pertumbuhan sektor tenaga dan memastikan pencapaian yang diraih memberi manfaat berkekalan kepada Sabah dan rakyatnya.