KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mendapati masih terdapat pemandu yang memilih untuk meletakkan kenderaan di lokasi yang tidak dikhaskan, walaupun terdapat lebih 20,000 petak parkir disediakan di sekitar pusat bandar.
DBKK, dalam kenyataan, mengatakan kemudahan tempat letak kereta yang banyak disediakan untuk kelancaran pergerakan trafik, keselamatan pengguna jalan raya serta keselesaan pengunjung ke pusat bandar.
Advertisement
.gif)
Pada masa ini, DBKK menyediakan kira-kira 4,005 petak parkir awam di kawasan pusat bandar dan sekitarnya. Selain itu, DBKK turut menyediakan kemudahan parkir bertingkat di Bangunan KK Plaza (452 petak), Menara Jubili (276 Petak) dan KK Sentral (499 petak), semuanya dengan kadar caj sebanyak RM1 sejam.
Di samping kemudahan yang disediakan oleh DBKK, terdapat lebih 19,000 petak parkir yang disediakan oleh bangunan komersial dan premis persendirian di sekitar pusat bandar.
Antara lokasi yang menawarkan kemudahan letak kereta ialah The Shore (711), Wisma Sabah (125), Wisma Merdeka (752), Warisan Square (510), Suria Sabah (2,016), Riverson (760), Plaza Shell (550), Oceanus (815), KK Times Square (3,287), KK Plaza (450), Jesselton Q (1,148), Jesselton Mall (910), Imago (1,795), Kompleks Asia City (1,581), Centre Point (1,376) dan Api-Api Centre (1,480). Kemudahan parkir di bangunan persendirian ini mengenakan caj yag berpatutan iaitu antara RM2 hingga RM4 bagi beberapa jam pertama.
Bagaimanapun, masih terdapat pemandu yang memilih untuk meletakkan kenderaan di lokasi seperti bahu jalan, laluan masuk dan keluar premis, kawasan larangan parkir, persimpangan jalan, kawasan pejalan kaki, hadapan premis perniagaan serta kawasan yang boleh menghalang pergerakan lalu lintas.
Menurut DBKK, perbuatan tersebut bukan sahaja menyalahi peraturan yang ditetapkan, malah boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas, menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya lain serta menjejaskan kelancaran aktiviti perniagaan dan urusan harian orang awam.
Dalam sesetengah keadaan, kenderaan yang diletakkan secara tidak teratur turut menyebabkan kerosakan kepada kemudahan awam seperti landskap bandar, pokok hiasan, kaki lima, pembahagi jalan dan infrastruktur lain yang disediakan untuk kegunaan masyarakat.
DBKK menegaskan bahawa tindakan terhadap kesalahan parkir dilaksanakan secara berperingkat dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Sebelum tindakan lanjut diambil, anggota penguat kuasa akan melaksanakan hebahan melalui siren atau pembesar suara bagi memberi peluang kepada pemilik kenderaan untuk mengalihkan kenderaan mereka. Sekiranya pemilik kenderaan tidak hadir atau kesalahan masih berterusan, notis kompaun dikeluarkan selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Bagi kes-kes tertentu yang melibatkan halangan kepada lalu lintas, risiko keselamatan awam, kesalahan berulang atau kegagalan mematuhi arahan yang diberikan, tindakan penundaan kenderaan dilaksanakan sebagai langkah terakhir setelah semakan dan prosedur yang berkaitan dipatuhi.
Orang ramai juga diingatkan bahawa berjalan kaki dalam jarak yang munasabah dari kawasan parkir ke destinasi yang dituju adalah amalan biasa di bandar-bandar utama di seluruh dunia.
Kemudahan parkir di bangunan berhampiran seperti KK Plaza, The Shore dan premis parkir lain boleh dimanfaatkan bagi mengurangkan kesesakan serta mewujudkan persekitaran bandar yang lebih teratur dan selesa.
Sehubungan itu, DBKK menyeru semua pengguna jalan raya agar sentiasa menggunakan petak parkir yang sah, mematuhi peraturan yang ditetapkan serta merancang perjalanan dengan lebih baik apabila berurusan di kawasan pusat bandar.
Kerjasama dan sikap bertanggungjawab semua pihak amat penting dalam memastikan Kota Kinabalu kekal sebagai sebuah bandar raya yang bersih, teratur, selamat dan mesra pengguna.