PAPAR: Seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Jalan Papar-Kota Kinabalu berhampiran Kampung Meruntum, Putatan, dengan kenderaan itu kemudiannya ditemui dibakar kira-kira 1.5km dari lokasi kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang DSP Erwansyah Abdul Basir berkata kemalangan itu berlaku pada 11.10 malam pada Selasa.
Advertisement
.gif)

Beliau berkata impak pelanggaran menyebabkan penunggang motosikal tercampak ke lorong paling kanan jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat.
Erwansyah berkata pemandu dan seorang penumpang pacuan empat roda itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, selepas kemalangan tersebut, pemandu meninggalkan kenderaan itu kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kejadian sebelum ia kemudiannya dibakar oleh individu yang belum dikenal pasti.
Beliau menggesa saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133.
Erwansyah turut meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar dari lokasi kejadian sebagai menghormati keluarga mangsa.