KENINGAU: Ketika ramai anak muda di bandar menikmati pelbagai kemudahan sukan moden, belia di luar bandar sering membina semangat dengan apa yang ada — berlatih di padang kampung, berkumpul selepas senja dan memupuk ukhuwah melalui sukan yang menyatukan masyarakat.
Dalam suasana itu, aktivis masyarakat, dermawan dan Presiden Inter United FC, Moddy Patrick meneruskan pendekatan turun padang apabila menyumbang jersi kepada belia Kampung Nuntunan, Apin-Apin, baru-baru ini.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pembantu Khasnya, Kennedy Franey Kelly yang mewakili Moddy dalam pertemuan dengan belia kampung terbabit.
Walaupun ringkas, penyerahan jersi itu membawa makna yang besar kepada masyarakat setempat kerana ia dilihat sebagai tanda sokongan dan penghargaan terhadap usaha anak muda yang terus aktif dalam aktiviti sukan dan kemasyarakatan.
Moddy berkata, belia perlu terus dibimbing dan diberi ruang untuk membangun kerana mereka merupakan tenaga penting dalam membentuk masyarakat yang sihat dan bersatu padu.
Menurutnya yang juga Presiden Projek MP, sukan mempunyai keupayaan merentasi sempadan sosial dan latar belakang masyarakat, selain menjadi medium pembinaan disiplin, kerjasama dan semangat kebersamaan.
Dia berharap sumbangan tersebut dapat memotivasikan belia untuk terus bergiat aktif dalam aktiviti positif demi pembangunan masyarakat kampung yang lebih progresif dan harmoni.
Pendekatan konsisten Moddy untuk menyokong komuniti akar umbi juga menunjukkan betapa kecilnya bantuan di kawasan terpencil boleh membawa nilai kemanusiaan yang besar kepada masyarakat setempat.