LAHAD DATU: Kerajaan negeri memperluaskan Tabung Khas Usahawan Sabah di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (Mindet) kepada koperasi sebagai usaha memperkukuh pembangunan ekonomi berasaskan komuniti di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata dana berjumlah RM1 juta itu sebelum ini disalurkan khusus kepada usahawan, namun mulai tahun ini turut dibuka kepada koperasi menerusi bantuan modal.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Beliau berkata, koperasi sebelum ini tidak layak menerima dana tersebut, namun peranan sektor itu yang semakin berkembang dalam masyarakat mendorong keputusan memperluaskan akses kepada inisiatif tersebut.
Ewon berkata demikian ketika merasmikan Program Jualan Madani dan lawatan ke Koperasi Keluarga Haji Sari Lahad Datu Berhad, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, sektor koperasi di Sabah mencatat pertumbuhan memberangsangkan apabila jumlah koperasi berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meningkat daripada kira-kira 1,600 pada akhir 2022 kepada lebih 2,000 ketika ini.
“Perolehan koperasi di Sabah juga meningkat daripada sekitar RM400 juta kepada lebih RM900 juta pada 2025, menghampiri paras RM1 bilion.
“Perkembangan ini mencerminkan usaha bersama kerajaan, SKM, Institut Koperasi Malaysia (Ikma) dan kepimpinan koperasi dalam memperkukuh sektor berkenaan,” katanya.
Ewon berharap lebih banyak koperasi dari Sabah akan diiktiraf antara yang terbaik di negara ini selepas enam koperasi dari negeri itu tersenarai dalam 100 koperasi terbaik Malaysia tahun lalu.
Sementara itu, beliau berkata perbincangan telah diadakan dengan kerajaan negeri semasa beliau memegang portfolio Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagi menyediakan 35 biasiswa kepada anak Sabah yang mengikuti pengajian diploma dan ijazah sarjana muda di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).
Katanya, seramai 17 pelajar dari Sabah sedang mengikuti pengajian di universiti berkenaan dan kuota masih dibuka kepada pelajar lain yang layak.
Dalam lawatan itu, Ewon turut melancarkan Program Jualan Madani Koperasi anjuran SKM serta menyampaikan sumbangan RM5,000 bagi menyokong program berkenaan.
Sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Koperasi Negeri Sabah, beliau berkata kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan agensi termasuk SKM dan Ikma bagi memperluas program bantuan kepada koperasi di seluruh Sabah.
Semasa program itu, beliau turut merasmikan premis Tamu Desa Tawaiyari Ulu Segama yang dibina melalui peruntukan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi tahun lalu.
Ewon juga menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada jawatankuasa tamu desa bagi menaik taraf kemudahan, RM5,000 kepada Holy Spirit Church untuk pembelian peralatan, serta bakul makanan kepada warga emas.