Kota Kinabalu: Menteri Pendidikan, Sains dan Inovasi Datuk James Ratib berkata tindakan segelintir individu yang menggunakan media sosial untuk menghina Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sabah amat dikesali dan tidak mencerminkan budaya masyarakat negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sugut itu berkata terdapat pihak tertentu yang menggunakan Facebook untuk melemparkan kata-kata kesat, tuduhan tidak berasas dan provokasi melampau terhadap pemimpin negeri dengan tujuan meraih perhatian serta menyemai kebencian dalam kalangan rakyat.
Advertisement
.gif)
“Saya telah melihat hantaran tersebut yang jelas tidak beretika dan berniat jahat untuk memalukan pemimpin negeri khususnya TYT. Tindakan seperti ini bukan sahaja tidak matang malah boleh mengganggu keharmonian serta mewujudkan persepsi negatif dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas tindakan sebuah akaun Facebook yang didakwa memuat naik kandungan menghina Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta TYT Tun Musa Aman.
Akaun itu juga didakwa memaparkan imej yang telah disunting dan dianggap menghina, menjatuhkan maruah serta menghasut orang ramai terhadap kepimpinan negeri.
James menggesa pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta agensi berkaitan supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan media sosial untuk mencetuskan provokasi melampau dan menghina institusi negeri.
Beliau berkata tindakan sewajarnya perlu diambil tanpa kompromi, terutama jika ia melibatkan unsur penghinaan, hasutan dan isu berkaitan 3R yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keharmonian rakyat Sabah.