KINABATANGAN: Seorang pemandu kereta cedera ringan apabila sebahagian jalan utama Sandakan-Lahad Datu di Kilometer 90 berhampiran Bulatan Sukau runtuh awal pagi Selasa susulan hujan lebat.
Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi di kawasan kerja R&R yang sedang dalam pembinaan.
Laluan alternatif telah disediakan namun hanya boleh dilalui kenderaan ringan, sekali gus menyebabkan laluan itu tidak dapat dilalui kenderaan berat.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Supt Ravi Duraisamy, berkata pihaknya dimaklumkan runtuhan jalan berlaku akibat limpahan air bawah tanah susulan hujan berterusan.
Beliau berkata sebuah kereta terbabit dalam kemalangan di lokasi kejadian, namun tiada kecederaan serius dilaporkan.
“Pemandu dan penumpang menerima rawatan di Hospital Kinabatangan,” katanya.
Katanya, kontraktor yang dilantik di bawah projek Lebuhraya Pan Borneo telah membina laluan lencongan bagi melancarkan aliran trafik.