KENINGAU: Selepas hampir setahun terputus akibat kerosakan jambatan, pembukaan semula jalan ke Kampung Tigot kini mengembalikan nadi perhubungan bagi beberapa kampung yang bergantung kepada laluan itu untuk urusan harian, pendidikan, kesihatan dan ekonomi.
Jalan tersebut bukan sekadar jalan kampung biasa sebaliknya menjadi penghubung utama penduduk ke bandar Keningau, hospital, klinik kesihatan, sekolah dan tempat kerja bagi kakitangan kerajaan serta swasta di kawasan berkenaan.
Bagi penduduk luar bandar, laluan itu juga merupakan akses penting untuk membawa hasil pertanian ke pasaran sekali gus membantu mengekalkan sumber pendapatan keluarga.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tigot, Basilius Donald berkata penutupan jalan sejak Oktober tahun lalu memberi cabaran besar kepada penduduk yang terpaksa menggunakan laluan alternatif untuk meneruskan rutin harian.
Bagaimanapun katanya semangat kerjasama daripada pelbagai pihak akhirnya membolehkan jambatan tersebut dibaiki dan dibuka semula untuk kegunaan orang ramai.
“JKKK Kampung Tigot ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam usaha menyiapkan dan membuka semula jambatan ini,” katanya.
Beliau turut menghargai pemilik tanah yang membenarkan penggunaan laluan alternatif sepanjang tempoh penutupan jambatan bagi memastikan penduduk kampung tidak terputus hubungan sepenuhnya.
Katanya pembukaan semula laluan itu bukan sahaja memudahkan pergerakan harian penduduk malah menjadi simbol penting kelangsungan komuniti luar bandar yang bergantung kepada rangkaian jalan raya untuk bergerak, bekerja dan meneruskan kehidupan.