SANDAKAN: Hospital Duchess of Kent (HDOK) mencatat satu lagi pencapaian dalam perkhidmatan kesihatan di Sabah apabila berjaya melaksanakan pembedahan “Free Flap” buat pertama kali baru-baru ini, sekali gus menjadi satu kejayaan penting dalam bidang pembedahan mulut dan maksilofasial di pantai timur negeri ini.
Prosedur rumit itu melibatkan seorang pesakit lelaki muda yang menderita ketumbuhan pada tulang rahang bawah kiri, dikenali sebagai ameloblastoma, sejak lebih lima tahun lalu. Ketumbuhan yang semakin membesar itu dilaporkan menjejaskan kehidupan hariannya.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Dalam pembedahan yang mengambil masa kira-kira 15 jam, pasukan pakar berjaya membuang ketumbuhan seberat 400 gram sebelum membina semula tulang rahang pesakit menggunakan tulang yang diambil dari kakinya sendiri, dengan bantuan teknologi perancangan pembedahan berasaskan komputer.
Kejayaan itu hasil kepakaran bersama Jabatan Pembedahan Mulut dan Maksilofasial dari beberapa hospital utama di Sabah.
Pasukan pembedahan diketuai Dr Jeremy Lee Ju Kuan bersama pakar Dr Azuriyati, Dr Rubindran Muthusamy, Dr Ahmad Fadhli Badruddin, Dr Steve Maisi dan Dr Komalam Mugunam.
Penghargaan turut diberikan kepada pasukan anestesia atas pengurusan rapi pesakit sepanjang prosedur, selain pihak penaja yang menyumbang juadah kepada pasukan pembedahan semasa berbuka puasa.
Advertisement

Pesakit kini dilaporkan berada dalam keadaan baik dan berpuas hati dengan hasil rawatan yang diterima.
Pencapaian itu dijangka membuka ruang kepada lebih banyak rawatan perubatan berteknologi tinggi di Sabah untuk manfaat rakyat negeri ini.