Kota Kinabalu: Tujuh lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 atau penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Trafik pada Isnin selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol.
Nicholas Noel, Kamarul Hisyam, Terence L., Faiz Cheng, Khairul Hakimin, Ian Jeremy dan Md Daniel membuat pengakuan itu secara berasingan di hadapan Majistret Marilyn Kelvin dan Wan Farrah Farriza Wan Ghazali.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua mereka hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun bermula dari tarikh sabitan.
Nicholas didapati memandu sebuah Perodua Axia di Jalan Bundusan, Penampang kira-kira jam 1.20 pagi pada 9 Mei lalu dengan kandungan alkohol sebanyak 97 miligram dalam 100 mililiter darah melebihi had dibenarkan.
Kamarul pula memandu Perodua Bezza di Jalan Pintas, Penampang kira-kira jam 1.45 pagi pada 25 April lalu dengan kandungan alkohol sebanyak 100 miligram dalam 100 mililiter darah.
Terence didapati memandu Perodua Kelisa di Jalan Tuaran Lama kira-kira jam 2.18 pagi pada 9 Mei lalu dengan kandungan alkohol sebanyak 93 miligram dalam 100 mililiter darah.
Cheng memandu Toyota Innova di Jalan Pintas, Kopungit kira-kira jam 2.30 pagi pada 19 April lalu dengan kandungan alkohol sebanyak 64 miligram dalam 100 mililiter darah.
Khairul pula didapati menunggang motosikal Kawasaki Versys 650 di Jalan Kepayan (Aeropod) kira-kira jam 2 pagi pada 12 April lalu dengan kandungan alkohol sebanyak 61 miligram dalam 100 mililiter darah.
Ian ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Pintas-Penampang berhampiran My Flooring kira-kira jam 1.44 pagi pada 25 April lalu ketika memandu Perodua Viva. Ujian pernafasan mendapati dia mempunyai 80 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah.
Md Daniel pula ditahan di sekatan jalan raya di Jalan Kota Kinabalu-Penampang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang kira-kira jam 1 pagi pada 24 Februari lalu ketika memandu Perodua Viva. Ujian pernafasan mendapati dia mempunyai 152 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda antara RM10,000 hingga RM30,000 jika sabit kesalahan.
Pegawai pendakwa trafik Inspektor Amrin Mohamad Arif dan Inspektor Irian Shah hadir bagi pihak pendakwaan.