LAHAD DATU: Seorang lelaki berusia lingkungan 20-an cedera parah selepas Perodua Viva dinaikinya bersama dua wanita bertembung dengan sebuah Proton Saga di KM4 Jalan Tengah Nipah, di sini, pada Rabu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.35 pagi menerusi talian NG999 sebelum mengerahkan lapan anggota bomba ke lokasi kejadian.
Menurutnya, komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah Perodua Viva dan Proton Saga, dengan tiga mangsa terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki di dalam Perodua Viva berkenaan.
“Dua wanita dalam Perodua Viva berjaya keluar sendiri daripada kenderaan, manakala lelaki terbabit tersepit di dalam kenderaan.
“Pasukan bomba membantu mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas menyelamat.
“Mangsa kemudian diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Jabatan itu berkata operasi tamat pada jam 6.15 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.