Kota Kinabalu: Sabah perlu memberi tumpuan kepada tiga keutamaan dalam usaha peralihan tenaga bagi memastikan kemajuan bermakna dan kelestarian jangka panjang, kata Penasihat Teknikal (Tenaga) kepada Ketua Menteri, Datuk Dr James Lim.
Pertama, katanya, peralihan tenaga yang praktikal perlu mengambil kira kebolehpercayaan bekalan, kemampuan kos dan kapasiti pelaksanaan.
“Bekalan tenaga yang tidak stabil menjejaskan industri, tenaga yang tidak mampu ditanggung membebankan rakyat dan pelan yang tidak dapat dilaksanakan menjadikan kelestarian sekadar pembentangan semata-mata,” katanya.
Kedua, beliau menekankan kepentingan kerjasama strategik merangkumi sektor awam, swasta, teknikal, pelabur dan komuniti.
Katanya, usaha yang berpecah-belah akan melambatkan pelaksanaan, manakala kerjasama terselaras dengan peranan jelas dan hasil boleh diukur mampu mempercepatkan kemajuan.
“Dasar perlu memudah cara, bukan melambatkan pelaksanaan,” tegasnya.
Ketiga, Dr Lim berkata Sabah perlu membina kekuatan berdasarkan keupayaan sendiri dan bukannya meniru pihak lain secara membuta tuli.
“Peluang tenaga Sabah, biodiversiti, potensi industri dan aset pesisir pantai memerlukan strategi berpaksikan Sabah, berasaskan sumber serta berpandangan jauh,” katanya.
Beliau berkata pengukuhan sistem tenaga juga akan meningkatkan keyakinan pelabur dan memperbaiki kecekapan pelaksanaan projek.
Berucap pada sesi pleno Sidang Kemuncak Hijau dan Kelestarian Dunia (WGSS) 2026 di Shangri-La Tanjung Aru Resort di sini, Dr Lim menegaskan Sabah perlu melangkaui slogan dalam agenda kelestarian dan memberi fokus kepada pelaksanaan berkesan khususnya dalam pembangunan tenaga hijau.
Katanya, kelestarian bukan sekadar aspirasi, sebaliknya memerlukan pengurusan, pelaksanaan dan penyampaian hasil yang boleh diukur.
“Apabila membincangkan kelestarian, kita perlu bergerak melangkaui slogan kepada pelaksanaan. Kelestarian bukan hanya mengenai cita-cita, tetapi pelaksanaan berkesan dan hasil yang nyata,” katanya.
Dr Lim berkata bagi Sabah, pendekatan itu bukan bersifat teori semata-mata, sebaliknya didorong keperluan pembangunan sebenar termasuk permintaan tenaga, kekuatan sumber dan tekanan untuk memastikan pembangunan yang bertanggungjawab.
“Sabah memiliki aset semula jadi, kedudukan strategik dan peluang untuk menjadi model pertumbuhan mampan, dengan syarat dasar, pelaburan dan infrastruktur diselaraskan dengan baik,” katanya.
Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan kejelasan data dan sistem dalam memacu kemajuan tenaga hijau.
“Apa yang anda tidak dapat lihat, anda tidak dapat urus. Kita perlu jelas mengenai keadaan semasa, kekangan sistem, pertumbuhan beban dan peluang yang berdaya maju sebelum merangka penyelesaian,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa niat baik sahaja tidak mencukupi tanpa pelaksanaan yang jelas dan bersungguh-sungguh.
Dr Lim berkata perlindungan modal semula jadi perlu bergerak seiring dengan penciptaan nilai bagi memastikan kemakmuran jangka panjang.
“Jika dilaksanakan dengan betul, kelestarian akan berubah daripada agenda abstrak kepada model pertumbuhan operasi,” katanya.
Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada Sabah mampu menterjemahkan kelestarian kepada projek sebenar seperti pelan Ekonomi Biru Sabah dan seterusnya kepada manfaat berkekalan untuk rakyat negeri ini.
“Ujian sebenar ialah sama ada kita mampu menukar projek kepada hasil dan hasil kepada manfaat berkekalan untuk rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata pendekatan sedemikian bukan sahaja melindungi alam sekitar, malah membina keyakinan, keupayaan dan daya tahan untuk generasi akan datang.
Dr Lim menegaskan Sabah memerlukan keutamaan yang jelas, pelaksanaan berdisiplin, kerjasama yang diyakini serta penyampaian yang praktikal.
“Sabah memerlukan tindakan sebenar, bukan lagi janji. Ini akan memastikan tenaga hijau bukan sahaja menyokong kelestarian, tetapi juga pekerjaan, daya saing, kualiti pelaburan dan pembangunan jangka panjang negeri,” katanya.