Kota Kinabalu: Seorang doktor yang bertugas di Hospital KPJ Sabah membawa isu kebocoran paip air di Lorong Bersatu, kawasan Luyang-Damai, kepada pihak media selepas aduan selama beberapa bulan tidak mendapat tindakan sewajarnya.
Kebocoran itu berlaku betul-betul di hadapan pintu masuk hospital menyebabkan jalan berlubang dan semakin rosak.
“Saya sudah membuat aduan sejak Februari kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Air Negeri Sabah dan wakil rakyat tetapi kebocoran di hadapan KPJ masih belum dibaiki,” kata doktor itu yang enggan dikenali.
“Kereta saya sudah beberapa kali terlanggar lubang akibat kebocoran ini. Jalan itu penuh dengan lubang,” katanya.
Doktor itu berkata keputusan untuk bercakap kepada media dibuat selepas semua saluran aduan yang ada telah digunakan namun tindakan daripada agensi berkaitan terlalu perlahan dan sekadar melepaskan batuk di tangga.
Kekecewaannya bertambah apabila melihat laluan bertentangan di jalan sama dibaiki dengan cepat selepas ahli politik datang melawat, mengambil gambar dan memuat naiknya di media sosial.
Laluan terbabit yang mempunyai beberapa kebocoran dan keadaan lebih teruk berjaya diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh seminggu.
“Laluan bertentangan mempunyai beberapa kebocoran dan keadaannya lebih teruk namun pasukan yang sama berjaya mengesan serta membaiki semuanya dalam masa seminggu selepas ahli politik datang mengambil gambar,” katanya.
“Saya masih menunggu tahap tindakan segera yang sama diberikan di sini,” katanya.
Beliau berkata seorang pegawai Jabatan Air mengesahkan aduan telah diterima dan memaklumkan bahawa siasatan akan dijalankan.
“Pegawai itu memberitahu saya kerja pengorekan bermula pada April di lokasi yang dilaporkan tetapi tiada paip ditemui di situ. Kerja kemudian dialihkan pada Mei ke kawasan bulatan berhampiran susur keluar KPJ selepas kedudukan asal paip berjaya dikesan di kawasan berkenaan.
“Dalam makluman bertulis terbaru, pegawai itu berkata pasukan teknikal kini memasuki bulan kedua siasatan aktif di lokasi dan sedang berusaha meminimumkan gangguan bekalan air kepada pengguna.
“Pegawai itu berkata perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Doktor itu turut mempersoalkan mengapa kerja pengorekan tidak dilakukan terus di lokasi kebocoran yang jelas kelihatan dan berkata proses yang berlarutan itu menyebabkan permukaan jalan semakin rosak teruk.
Keadaan menjadi lebih mengecewakan apabila pekerja DBKK menampal permukaan jalan dan mengisytiharkan kebocoran telah selesai, namun menurut doktor itu, air kembali meresap keluar pada petang hari yang sama.
“Mereka tampal jalan itu dan kata tiada kebocoran. Tetapi pada sebelah petang air keluar semula,” katanya.
“Bagaimana boleh kata tiada kebocoran sedangkan ia jelas boleh dilihat dengan mata sendiri?”
Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap implikasi kebocoran paip yang tidak diselesaikan ketika musim kemarau kerana pembaziran berterusan akhirnya akan meningkatkan kos kepada pengguna.
“Kita sedang menghadapi musim kemarau dan air dibazirkan begitu sahaja. Kenapa mereka tidak menghantar pasukan sama yang membaiki laluan bertentangan untuk membaiki laluan ini?
“Mereka berjaya menyelesaikan masalah yang lebih teruk dalam masa seminggu. Yang ini mereka kata kebocoran kecil tetapi keadaan jalan menunjukkan sebaliknya,” katanya.