KUALA PENYU: Polis menahan empat lelaki tempatan termasuk seorang individu dikehendaki pihak berkuasa dalam beberapa operasi berasingan di daerah ini dan Beaufort.
Ketua Polis Daerah Beaufort Supt Champin Piuh pada Jumaat berkata Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort menahan seorang lelaki berusia 48 tahun di tepi jalan Pekan Kuala Penyu pada Rabu lalu.
Beliau menyatakan hasil pemeriksaan saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. Dalam pada itu, kita pada Khamis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun di tepi jalan Pekan Menumbok untuk pemeriksaan saringan air kencing.
“Hasil ujian mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya.
Sementara itu Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) IPD Beaufort menahan seorang lelaki tempatan yang berada dalam senarai orang dikehendaki polis semasa rondaan MPV berhampiran bulatan Limbawang.
Pemeriksaan melalui sistem Peranti Penerimaan Kad Mudah Alih (MCAD) mendapati lelaki itu dikehendaki berkaitan satu kes di Kuala Penyu.
Dalam operasi lain polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Melampai, Kuala Penyu susulan maklumat mengenai kegiatan penyalahgunaan dadah.
Seorang lelaki berusia 47 tahun ditahan dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek juga positif methamphetamine dan amphetamine.
Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kini ditahan dalam lokap Balai Polis Beaufort.
Champin berkata kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan IPD Beaufort dalam mempergiat rondaan pencegahan jenayah dan membanteras penyalahgunaan dadah demi keselamatan masyarakat.