Kundasang: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) terus memperkukuh agenda sekuriti makanan negara menerusi pembangunan Projek Pengeluaran Benih Bawang Merah Mardi di Kundasang yang dilihat berpotensi menjadi antara hab strategik pengeluaran bawang merah negara menjelang 2030.
Komitmen itu dizahirkan menerusi lawatan kerja Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin ke projek berkenaan bagi meninjau perkembangan projek pengeluaran benih bawang merah yang dilaksanakan bersama usahawan tani bimbingan Mardi di Kampung Mesilou, Kundasang.
Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh industri bawang merah tempatan melalui pengeluaran benih berkualiti tinggi, peningkatan produktiviti pengeluaran serta mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bawang.
Dalam lawatan itu Chan turut diberikan taklimat mengenai perkembangan projek termasuk penggunaan varieti bawang merah Mardi iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 yang dibangunkan khusus bagi menyokong pengeluaran bawang tempatan secara lebih mampan dan berdaya saing.
Turut diadakan ialah lawatan ke kawasan penanaman bawang serta Rumah Pengeringan dan Penyimpanan Benih Bawang Merah yang dibangunkan oleh Mardi sebagai infrastruktur sokongan bagi memastikan pengeluaran benih dapat dijalankan secara konsisten dan memenuhi piawaian kualiti yang ditetapkan.
Kemudahan bernilai RM523,000 itu berfungsi sebagai pusat pengendalian, pengeringan dan penyimpanan benih sebelum diagihkan ke Semenanjung serta Sabah dan Sarawak. Inisiatif ini selaras dengan sasaran kerajaan untuk mengurangkan import bawang sebanyak 30 peratus menjelang 2030 di samping memastikan industri bawang negara terus relevan, mampan dan kompetitif.
Projek pengeluaran benih bawang merah ini dilaksanakan bersama usahawan bimbingan Mardi Shahrizal Denci yang mula menyertai program Mardi pada 2024.
Sepanjang dua musim penanaman sebelum ini beliau berjaya menghasilkan 20 tan metrik bawang merah melibatkan kawasan seluas lima ekar.
Seiring perkembangan projek kawasan penanaman kini diperluaskan secara berperingkat sehingga mencapai 40 ekar menjelang 2030 dengan sasaran pengeluaran keseluruhan sehingga 200 tan metrik. Pembangunan berskala besar ini dijangka mampu meningkatkan bekalan bawang merah tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan negara terhadap bawang import.
Selain memperkukuh pengeluaran benih bawang merah tempatan projek sama turut menjadi model kerjasama strategik antara kerajaan, institusi penyelidikan dan komuniti petani dalam membangunkan ekosistem industri bawang merah yang lebih moden, berdaya tahan dan bernilai tinggi.
Mardi akan terus komited memperkukuh pembangunan teknologi pertanian, pemindahan inovasi dan sokongan teknikal kepada komuniti petani bagi memastikan industri bawang merah tempatan terus berkembang secara mampan serta mampu menyumbang kepada agenda sekuriti makanan negara.