KOTA MARUDU: Kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 1,000 hektar kawasan tanaman padi di Terusan Sapi dapat diusahakan tahun ini dalam usaha meningkatkan tahap sara diri (SSL) pengeluaran padi di Sabah.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar (gambar), berkata sasaran itu mampu dicapai susulan komitmen kerajaan negeri memperkukuh sistem pengairan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, perkembangan pembukaan kawasan sawah padi di Terusan Sapi turut menunjukkan peningkatan positif apabila keluasan tanaman berjaya ditingkatkan, daripada 400 hektar sebelum ini kepada 800 hektar, dalam tempoh dua bulan.
“Pada Februari lalu, saya turun padang dan ketika itu hanya sekitar 400 hektar kawasan yang telah ditanam padi, namun saya menetapkan sasaran supaya dalam tempoh dua bulan keluasan itu perlu digandakan.
“Apabila saya datang semula pada April, kawasan yang telah dibuka meningkat kepada 800 hektar dan saya yakin masih ada lagi kawasan yang boleh dibangunkan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Projek Tanaman Jagung Bijiran EMAT di sini, Isnin lalu.
Dalam pada itu, Jamawi berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut menerima peruntukan RM50 juta daripada Kementerian Ekonomi bagi membangunkan sistem pengairan di Terusan Sapi tahun ini.
Katanya, projek itu dijangka mampu mengairi tambahan kira-kira 1,000 hektar kawasan sawah sekali gus memperkukuh pengeluaran padi di Sabah.
“Jika sistem pengairan ini dilaksanakan sepenuhnya, ia akan membantu membuka lebih banyak kawasan penanaman dan seterusnya meningkatkan SSL padi Sabah,” katanya.
Beliau berkata selain Terusan Sapi, Kota Marudu dan Kota Belud juga mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai kawasan pengeluaran padi kerana masing-masing masih mempunyai kira-kira 3,000 hektar sawah terbiar.
Pada masa sama, katanya hasil lawatan ke dua kawasan tanaman padi di Kota Marudu mendapati terdapat kerjasama positif antara syarikat swasta dan penduduk kampung dalam membangunkan sektor pertanian itu.
“Kita telah melawat dua kawasan di daerah ini yang masing-masing diusahakan dua syarikat dengan kerjasama petani melibatkan kawasan sawah padi seluas 50 hektar dan 100 hektar.
“Kedua-dua kawasan ini kini dalam musim menuai dan petani turut menerima baik projek yang dilaksanakan, namun masih terdapat beberapa perkara yang perlu ditambah baik khususnya berkaitan kebajikan petani dan pelaksanaan perjanjian antara pemaju serta petani,” katanya.
Jamawi berkata pihaknya turut meninjau projek tanaman padi milik Sawit Kinabalu yang kini mengusahakan kira-kira 200 hektar sawah padi sebagai sebahagian usaha meningkatkan SSL beras Sabah.
Katanya, walaupun Sawit Kinabalu lebih sinonim dengan industri kelapa sawit, syarikat itu turut melaksanakan tanggungjawab membantu kerajaan meningkatkan pengeluaran padi.
Selain itu, beliau juga melawat beberapa kilang padi, termasuk milik syarikat Wawasan Maju yang sebelum ini mempunyai kapasiti memproses sehingga 100 tan padi sehari bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Bagaimanapun, beliau berkata selepas pandemik Covid-19, jumlah itu merosot kepada sekitar 2,000 tan setahun berbanding 6,000 tan setahun sebelum ini disebabkan banyak sawah padi terbiar selain masalah sistem pengairan yang belum diselesaikan sepenuhnya.
Sehubungan itu, katanya, kementeriannya akan terus turun padang bagi mengenal pasti masalah di lapangan dan mencari penyelesaian segera termasuk meneliti keperluan perubahan dasar.
Beliau turut mencadangkan supaya kawasan yang sebelum ini tidak menerima subsidi dan insentif kerajaan tetapi aktif diusahakan, termasuk projek milik Sawit Kinabalu, dipertimbangkan untuk diiktiraf sebagai mini jelapang padi.
“Saya telah syorkan kepada Setiausaha Tetap kementerian ini supaya kawasan yang berpotensi tetapi sebelum ini tidak layak menerima subsidi dapat diangkat sebagai mini jelapang padi.
“Pada 9 Jun nanti, Setiausaha Tetap akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Persekutuan bagi memastikan potensi ini dapat dibangunkan sepenuhnya,” katanya.