TAWAU: Penduduk di Ranggu memasang 50 poster di lokasi strategik di kawasan mereka bagi memaklumkan orang ramai bahawa laluan pintas yang menghubungkan Prima Ranggu dengan Bandar Sri Indah (BSI) akan dibuka pada 17 Jun.
Wakil orang awam Vincent Ong, 37, berkata pihaknya akan meneruskan rancangan membuka laluan jalan rizab awam itu jika pemaju BSI iaitu Hap Seng Properties Development Sdn Bhd tidak mengambil tindakan selepas 30 hari.
Menurutnya, poster terbabit dipasang sejak Khamis lalu di seluruh kawasan Ranggu bermula dari pintu masuk hingga ke penghujung kawasan berkenaan bagi memastikan maklumat sampai kepada semua penduduk dan pengguna jalan raya.
Katanya, poster berkenaan mengandungi maklumat ringkas berkaitan tindakan yang akan diambil termasuk jaminan bahawa jalan itu tetap akan dibuka walaupun pihak pemaju tidak melaksanakan kerja pembukaan jalan berkenaan.
“Tujuan pemasangan poster ini adalah untuk memaklumkan kepada semua bahawa jalan itu akan tetap dibuka pada 17 Jun nanti. Kalau dalam tempoh sebulan ini (30 hari) pemaju masih tidak membuka jalan itu, kami (penduduk) akan teruskan juga kerja itu,” katanya.
Dalam pada itu, Vincent turut memaklumkan bahawa terdapat inisiatif daripada penduduk setempat untuk mengadakan kutipan derma bagi membantu kos pembukaan jalan berkenaan.
Katanya, cadangan itu timbul selepas dia menerima panggilan daripada beberapa penduduk yang mahu turut sama terlibat menyelesaikan isu berkenaan menerusi kutipan derma secara sukarela mengikut kemampuan serta keikhlasan masing-masing.
Bagaimanapun, katanya, kos sebenar kerja pembukaan jalan pintas itu masih belum dapat dipastikan kerana bergantung kepada penilaian kontraktor yang akan menjalankan kerja-kerja terbabit.
Sebelum ini, laluan pintas dengan jarak sekitar 25 hingga 30 langkah itu masih menjadi pertikaian antara penduduk BSI dan kawasan Ranggu sehingga berlaku siri demonstrasi bantahan secara aman daripada kedua-dua pihak.
Mengulas perkembangan terbaharu selepas perhimpunan dihadiri lebih 1, 000 orang yang diadakan minggu lepas, Vincent berkata setakat ini masih belum ada sebarang maklum balas rasmi daripada pihak pemaju.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya sudah mengambil tindakan susulan dengan menghantar surat rasmi kepada beberapa pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) dan pemaju sebagai pemakluman rasmi berhubung tindakan yang akan diambil.
Katanya, sekiranya berlaku sebarang halangan atau kekacauan selepas jalan itu dibuka pada 17 Jun depan, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa, khususnya PDRM untuk mengambil tindakan lanjut.
Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan kesediaan dan terbuka untuk mengadakan dialog atau rundingan dengan mana-mana pihak termasuk pemaju bagi mencari jalan penyelesaian terbaik seperti kesediaannya sejak hari pertama lagi isu berkenaan timbul.