PENILAIAN terperinci perlu dilakukan untuk memastikan ia perlu ditebang atau dimusnahkan bagi mengelak warisan alam seperti Pokok Hujan-hujan dapat dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang.
Contohnya, salah satu daripada lima Pokok Hujan di Jalan Kasigui di Donggongon, yang sebelum ini ditanda untuk ditebang pada 2 April, secara tidak rasmi dinilai sebagai sihat dan tidak rosak.
Advertisement

Arkitek landskap dan arboris berdaftar Eric Ye mengesyor untuk diadakan Penilaian Pokok Lanjutan Tahap 3 ISA tiga peringkat ke atas pokok ikonik itu bagi memastikan pemeliharaan jangka panjangnya.
Proses ini menggunakan peralatan khusus untuk memeriksa struktur kayu pokok, memeriksa sistem akarnya dan tanah di sekelilingnya serta kanopinya untuk potensi masalah struktur di bahagian atas mahkota.
“Penilaian Tahap 3 memberikan pandangan mendalam pada akar, batang atau mahkota pokok dan potensi kegagalannya,” jelas Ye kepada Harian Ekspres, baru-baru ini.
“Ia mungkin membabitkan pendakian, pemeriksaan akar mekanikal, penilaian tapak, ujian tanah, penilaian udara, ujian pereputan, penggalian akar dan leher, ujian beban, penilaian kendur batang dan analisis beban ribut dan angin.”
“Jika mana-mana bahagian berisiko sudah dikenal pasti, seperti dahan yang mungkin akan tumbang, sistem sokongan mekanikal seperti kabel keluli, rod keluli atau penyokong boleh dipasang untuk menstabilkan pokok itu,” jelasnya.
Terletak berhampiran Dewan Sigah di Kampung Tuavon, Pokok Hujan-hujan merupakan mercu tanda tempatan yang disayangi penduduk Penampang.
Ramai penduduk menentang ia ditebang dengan alasan bahawa menebangnya akan menghilangkan daya tarikan dan warisan yang berharga di daerah ini.
“Kita perlu melakukan semua yang kita mampu untuk memelihara khazanah semula jadi ini yang telah berada di sini selama lebih 80 tahun. Ia adalah simbol dan identiti bagi penduduk tempatan di daerah ini,” katanya.
Dikenali sebagai pokok Hujan-Hujan, spesies ini juga kata Ye mempunyai keupayaan semula jadi untuk menyembuhkan dirinya sendiri selepas mengalami kerosakan.
Beliau yakin pokok itu mampu bertahan selama 20 hingga 50 tahun lagi dengan penjagaan yang betul.
Bagaimana Pokok Hujan-hujan Jalan Kasigui ini dapat menyembuhkan dirinya sendiri dan mengapa ia perlu dibiarkan berdiri dengan megah seperti sekarang?
“Apabila pokok terluka, ia menghasilkan tisu yang dipanggil ‘kalus’ di sekeliling tepi lukanya. Lama-kelamaan, kalus ini berkembang menjadi kulit kayu dan kayu baharu, menutup kawasan yang rosak.
“Proses itu kini boleh dilihat berlaku pada salah satu pokok Hujan-Hujan atau nama saintifik ‘Samanea saman’. Saya sudah memeriksa dan nampak tisu kalus sedang membentuk di sekitar lukanya yang kelihatan seperti lubang besar.
“Saya lihat pokok itu sudahpun mengalami proses penyembuhan,” katanya dan menambah proses itu mungkin mengambil masa bertahun-tahun bergantung pada saiz dan tahap luka, tetapi apa yang beliau nampak di sini adalah bukti daya tahan pokok itu.
Walaupun terdapat lubang besar pada tunggulnya, Pokok Hujan ini kekal utuh dan kuat. Permukaan kering dan kesan koyak sebenarnya adalah tanda-tanda pemulihan, bukan pereputan.
“Tunggul itu tidak akan patah. Walaupun dibiarkan begitu sahaja, ia akan menjadi pokok yang sihat. Lihat sahaja pada dahan dan dedaunnya. Ia tumbuh subur,” katanya sambil menunjuk ke kanopi.
Pada akhir Mac lalu, Presiden Majlis Perbandaran Penampang (MPP), Noemi Dyena Johntren, mengumumkan bahawa pokok itu akan ditebang pada 2 April.
Keputusan itu memetik laporan ahli arboris yang mendakwa pokok itu berisiko tinggi untuk tumbang dan mengancam keselamatan awam.
Ye, yang juga merupakan pemandu terapi hutan, mempertikaikan keputusan Majlis itu dan berpendapat ia adalah “berdasarkan imaginasi, bukan berdasarkan fakta,” kerana pokok itu masih kukuh dari segi struktur.
“Adakah majlis telah menjalankan penilaian terperinci untuk melihat sama ada ia benar-benar menimbulkan risiko kepada orang ramai?”
“Sebelum menebang pokok-pokok sepenting ini, pihak-pihak yang terlibat mesti menjalankan penilaian ISA Tahap 3 tiga peringkat penuh terlebih dahulu,” tekannya.
Bagaimana pokok sembuh sendiri? Kat Ye, tidak seperti haiwan, pokok tidak boleh bergerak untuk mengelakkan kecederaan atau penyakit. Sebaliknya, ia mengembangkan mekanisme pembaikan yang unik.
Kaedah utama ialah ‘pembahagian’ di mana pokok mengasingkan bahagian yang rosak dengan mewujudkan penghalang dalaman di sekeliling luka.
Pokok juga menyesuaikan diri dengan tekanan persekitaran. Semasa kemarau, ia menutup stomata untuk mengurangkan kehilangan air. Ia menghasilkan bahan kimia pelindung terhadap pencemaran.
“Dalam cuaca ekstrem, ia menggalakkan pertumbuhan pada kulit kayu yang lebih tebal. Tindak balas penyesuaian ini adalah sebahagian daripada keupayaan pokok yang luar biasa untuk sembuh dan terus hidup,” kata Ye.
Walaupun pokok sembuh sendiri, arborikultur yang betul mempercepatkan proses berkenaan. Ini termasuk pemangkasan berkala, penyiraman yang mencukupi dan perlindungan daripada kerosakan mekanikal.
Jika perlu, teknik seperti menahan dahan yang lebar atau memasang kabel dan skru untuk menyokong beratnya dari jatuh, boleh mencegah kegagalan ia daripada musnah seterusnya disingkirkan.
“Pokok Hujan di sini tahan lasak,” tambah Ye.
“Ia telah menyaksikan perubahan selama beberapa dekad. Walaupun tanah di sekelilingnya disimen, ia mempunyai akar tunjang yang kuat dan kanopi yang seimbang yang menyediakan teduhan dan tempat perlindungan untuk burung dan haiwan kecil.”