Kota Kinabalu: Seorang pemandu sebuah institusi kesihatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menipu seorang lelaki membabitkan RM221,283 bagi urusan pembekalan barangan dan dana kepada sebuah institusi koperasi pada 2021.
Muhammad Azlan Shah Marsih, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Monica Linsua selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya pada Khamis.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Tertuduh didakwa memperdayakan Mohammad Jaidi Sarakawi, 44, dengan meyakinkan mangsa bahawa terdapat tawaran pembekalan alat tulis, kit ujian kendiri dan modal pelaksanaan kepada Institut Koperasi Malaysia.
Perbuatan itu didakwa mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM221,283 ke dalam akaun Syarikat An’naz milik tertuduh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai di Putatan kira-kira jam 12 tengah hari pada 24 November 2021.
Muhammad didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 18 Jun depan untuk pengurusan kes praperbicaraan.
Sementara itu mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri sekali setiap bulan di balai polis berhampiran, menyerahkan pasport kepada mahkamah jika ada serta tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon tarikh baharu sebutan kes selepas tertuduh mengaku tidak bersalah dan memaklumkan tiada keadaan istimewa untuk jaminan diberikan.
Beliau turut mencadangkan jumlah jaminan RM10,000 sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan lebih rendah atas alasan dia merupakan pencari nafkah tunggal keluarga, bapa tunggal kepada dua anak serta menjaga ibunya yang sudah lanjut usia.