Kota Kinabalu: Seramai 39 pelajar dari Sabah dan Labuan menerima geran tunai berjumlah RM117,000 selepas menamatkan program literasi kewangan selama tiga bulan yang bertujuan mendidik generasi muda mengurus kewangan mereka.
Setiap peserta menerima geran RM3,000 yang disalurkan dalam bentuk BSN Sijil Simpanan Premium (SSP) dan boleh ditebus selepas 45 hari sebaik menamatkan program literasi kewangan dikenali sebagai Fun(d) for Life Edisi Uni (FFL-Uni).
Advertisement
X500px(H).jpg)
Ketua Program FFL-Uni dan Pengasas Bersama Arus Academy Alina Amir berkata Fun(d) for Life Edisi Uni (FFL-Uni) merupakan program literasi kewangan oleh Arus Academy dengan kerjasama FWD Insurance serta disokong oleh FEN.
“Program ini menyasarkan pelajar lepasan SPM (TVET, universiti awam dan swasta, Tingkatan Enam, kolej komuniti) berusia 18 hingga 24 tahun di seluruh Malaysia dan bertujuan memperkasakan belia Malaysia daripada golongan berpendapatan rendah dengan pengurusan kewangan yang berkesan serta tabiat kewangan positif.
“Ini merupakan kohort kedua di Sabah dan selepas menamatkan siri di Malaysia Timur, program ini akan diteruskan ke negeri-negeri utara Semenanjung dan Sarawak bagi kohort seterusnya sekali gus memperluaskan capaian di peringkat nasional.
“Sehingga kini seramai 179 peserta telah menamatkan program ini termasuk 39 graduan Kohort 3 di Sabah manakala 171 lagi peserta daripada Kohort 4 hingga 6 sedang menjalani tempoh latihan selama tiga bulan bagi menyiapkan tugasan mereka seperti rekod kewangan harian, sesi bimbingan bulanan dan projek komuniti literasi kewangan selama lapan jam sebelum menerima RM3,000.
“Hanya mereka yang mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus keseluruhan tugasan layak menerima geran RM3,000 yang disediakan oleh FWD Malaysia,” katanya sambil menambah geran itu bukan sekadar ganjaran kewangan tetapi simbol kepercayaan.
Alina menjelaskan bagi melayakkan diri menerima geran tersebut, peserta perlu melengkapkan kem literasi kewangan selama tiga hari, merekod perbelanjaan harian selama tiga bulan, menghadiri sesi bimbingan bulanan, melaksanakan projek komuniti literasi kewangan serta membuat pembentangan akhir.
Katanya literasi kewangan bukan sekadar mengetahui cara menyediakan bajet tetapi juga memahami psikologi di sebalik keputusan kewangan seseorang, termasuk sebab seseorang berbelanja, emosi yang mempengaruhi pilihan mereka dan bagaimana mengubah corak tersebut.
Menurut Alina FFL-Uni dilancarkan pada 20 Januari 2025 dan akan berlangsung sehingga 2026 bagi mencapai semua negeri di Malaysia.
Beliau menambah peserta dipilih menerusi proses temu duga dan dipantau secara berterusan sepanjang tiga bulan program berlangsung.
“Kami tidak berminat dengan kesedaran sehari sahaja. Kami mahu melihat perubahan tingkah laku sebenar dan ia memerlukan masa, akauntabiliti dan sokongan komuniti,” katanya.
Sementara itu pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Rosita Bonai, 22, berkata tiga bulan menyertai FFL-Uni membawa perubahan besar terhadap cara beliau melihat pengurusan wang.
“Perubahan terbesar dalam diri saya selepas tiga bulan ialah cara saya berbelanja. Dahulu saya boros tanpa memikirkan apa yang benar-benar diperlukan. Kini saya mengutamakan keperluan dan simpanan.
“Saya juga sedar wang itu sendiri tidak menjadikan seseorang itu baik atau buruk tetapi cara kita menguruskannya yang menentukan siapa diri kita pada masa depan. Kini saya lebih memahami mengapa kemahiran kewangan penting untuk masa depan saya,” katanya.
Seorang lagi pelajar UMS Mohammad Azemmy Iqwan Albert @ Robert, 21, menyifatkan program itu lebih daripada sekadar kursus kewangan.
“FFL-Uni bukan sekadar program kewangan. Ia adalah perjalanan pembelajaran yang mengubah cara kami mengurus, melihat dan merancang masa depan kewangan kami,” katanya.
Komponen projek komuniti yang mewajibkan setiap peserta merancang dan melaksanakan inisiatif literasi kewangan untuk kumpulan sasaran masing-masing menjadi antara ciri istimewa FFL-Uni.
Salah satu projek yang mencuri perhatian dihasilkan oleh Frederick Mandul, 22, pelajar UMS yang membesar di Kampung Liu, Pitas dan mengakui kurang pendedahan mengenai pengurusan kewangan sebelum melanjutkan pengajian ke universiti.
Bagi projek komunitinya beliau menghasilkan Smart Wang, program selama lapan jam yang disusun berdasarkan lima teras iaitu kemahiran kewangan, minda, amalan, realiti kewangan dan tabiat.
Frederick membawa program itu kembali ke kampungnya di Pitas dengan menyasarkan 20 peserta berusia antara 12 hingga 25 tahun termasuk pelajar sekolah menengah dan golongan belia sekitar kawasan berkenaan.
Matlamatnya jelas iaitu menunjukkan kepada belia luar bandar bahawa melanjutkan pelajaran adalah sesuatu yang boleh dicapai dan kekangan kewangan boleh diatasi dengan pengetahuan yang betul.
Beliau mendapati 85 peratus belia di kampung berkenaan kurang berminat untuk melanjutkan pelajaran disebabkan kekangan kewangan dan kurangnya kesedaran mengenai biasiswa serta bantuan pendidikan.