Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 21 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengugut untuk menyebabkan kematian seorang wanita.
Muhammad Wahyu Abdullah mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita Sitti Aminah dengan mengancam untuk menyebabkan kematian di sebuah bilik sewa di tingkat satu Kampung Air di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 5 Mei lalu.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 9 Julai untuk pengurusan kes pra-perbicaraan dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,200 dengan dua penjamin.
Sementara itu, seorang lelaki berusia 41 tahun didenda RM2,800 atau penjara enam bulan kerana menyimpan kipas dinding curi.
Maarof Garib mengaku bersalah memiliki kipas dinding curi kepunyaan Stesen Shell Wisma Innoprise, Jalan UMS di surau lelaki stesen minyak itu kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 9 Mei lalu.
Kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu oleh pihak pendakwaan bahawa pengadu menyedari kipas dinding itu hilang ketika melakukan rondaan di surau berkenaan kira-kira jam 11 pagi pada 7 Mei sebelum membuat laporan polis.
Polis kemudian menahan Maarof di sebuah rumah di Kampung Delima, Manggatal berhubung kes itu dan merampas kipas dinding curi berkenaan daripadanya.
Pengadu turut mengenal pasti kipas yang dirampas itu sebagai milik stesen Shell berkenaan.
Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah melakukan pendakwaan.