TAWAU: Cubaan menyeludup masuk kira-kira 52kg dadah jenis syabu, yang dianggarkan bernilai lebih RM2.6 juta, menerusi perkhidmatan pengendali perkhidmatan kurier dan kargo udara berjaya dipintas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Lapangan Terbang Tawau (LTT), di sini, pada Isnin.
Modus operandi sindiket pengiriman dadah itu terbongkar selepas pihak JKDM yang bertugas mengesan kehadiran kandungan mencurigakan terbabit ketika menjalankan proses pengimbasan di mesin pengimbas-X di premis perkhidmatan kargo udara domestik LTT.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Sebaik menerima maklumat berkaitan, Daily Express segera menghubungi pihak JKDM, yang kemudiannya mengesahkan kejayaan rampasan dadah itu namun memaklumkan maklumat lanjut berhubung kes itu belum dapat didedahkan secara terperinci buat masa ini.
Penemuan dan rampasan dadah pada skala besar itu dicapai hasil daripada pemeriksaan menerusi mesin pengimbas barangan kurier selepas mengesan pelbagai saiz barang-barang terlarang yang disembunyikan di dalam empat beg hitam secara berasingan.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin, apabila dihubungi oleh Daily Express, mengesahkan JKDM telah membuat laporan polis secara rasmi berkaitan rampasan dadah terbabit di Ibu Pejabat Polis (IPD) Tawau pada hari sama rampasan dilakukan.
Bagaimanapun, Jasmin memaklumkan sebarang kenyataan berhubung rampasan dadah itu perlu dirujuk kepada pihak JKDM memandangkan siasatan lanjut kes terbabit kini berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa berkenaan, bukannya pihak polis.
Berdasarkan trend penyeludupan dadah ke Tawau, modus operandi menggunakan perkhidmatan pengendali perkhidmatan kurier dan kargo udara selain bagasi penumpang, antara muslihat yang sentiasa berada dalam perhatian JKDM dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah.
Rekod terdahulu juga menunjukkan sindiket dadah selalu menjalankan pelbagai muslihat menyeludup dadah ke Tawau untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, khususnya Indonesia, di mana harga syabu dilaporkan tiga kali ganda lebih tinggi berbanding nilai pasaran di Malaysia.