Kota Kinabalu: Empat lelaki didakwa secara bersama di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan merosakkan kabel milik Telekom Malaysia Berhad (TM) bulan lalu.
Mohd Fardy Eddie, 43, Mohd Fikrey Dzulpie, 28, Sobree Ajilan, 39, dan Mohamad Aidill Fittiry Jita, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Monica Linsua. Mereka didakwa merosakkan kabel milik TM berhampiran pasar raya Merdeka di Lido kira-kira jam 3.19 pagi pada 26 April lalu.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 235(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 235(3) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana mempunyai niat bersama.
Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah menetapkan 9 Julai depan untuk pengurusan kes praperbicaraan dan membenarkan semua tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 setiap seorang dengan seorang penjamin tempatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh bagi pihak Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim.
Sobree diwakili peguam Faezah Abby Ibnu dan Azwa Safina Madlan manakala Mohd Fardy diwakili peguam Khairudin Noordin. Dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam.