SANDAKAN: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyasarkan kehadiran 20,000 pengunjung pada Hari Terbuka Armada Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) TLDM Sandakan yang berlangsung selama tiga hari hingga hari ini (Ahad) di Pangkalan Mawilla 2.
Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Muda Ivan Mario Andrew berkata sasaran itu meningkat berbanding kira-kira 15,000 pengunjung yang direkodkan pada penganjuran tahun lalu.
“Program ini bukan sahaja mendekatkan masyarakat dengan TLDM malah turut menyemai semangat patriotisme, meningkatkan kesedaran maritim serta memupuk kefahaman mengenai kepentingan keselamatan perairan negara yang menjadi tonggak kestabilan dan kemakmuran negara.
“Acara ini juga merupakan antara inisiatif berterusan TLDM dalam memperkukuh hubungan strategik dengan masyarakat awam selain memberi pendedahan secara langsung mengenai peranan, fungsi dan keupayaan TLDM dalam mempertahankan keselamatan serta kedaulatan perairan negara,” katanya.






