Kota Kinabalu: Sebanyak 28 pasukan bakal berentap untuk merebut gelaran pada kejohanan bola sepak veteran Mimpaagat Borneo 7s Antarabangsa ke-5 bermula esok (Sabtu) di Kompleks Sukan Penampang.
Edisi tahun ini turut menampilkan Black Swans dari Australia, Lagenda SG, A10 A dan B dari Singapura, Brunei Wanderers, Azam FT 40s dan 50s dari Brunei, Klang Star 50s/60s, Club X 50s/60s dan Melwood FC dari Semenanjung.
Pengerusi Penganjur Eddy Limbang berkata kejohanan dua hari yang dibahagikan kepada tiga kategori umur itu memberi peluang kepada bekas pemain untuk kekal aktif dan sihat, dan pada masa sama mempromosikan rangkaian sosial dalam kalangan peserta.
Tambahnya, kejohanan yang diadakan sempena Pesta Menuai itu juga memainkan peranan penting dalam meletakkan Sabah sebagai destinasi alternatif utama untuk sukan riadah.
“Kami akan menawarkan pasukan pelawat peluang untuk merasai pengalaman unik di ‘Bumi di Bawah Bayu’ ini.
“Kami mahu tetamu kami melihat yang terbaik di Sabah, dari pulau-pulau dan hidupan liar hinggalah ke pergunungan kami. Terdapat banyak aktiviti riadah untuk atlet dan keluarga mereka nikmati selain pertandingan ini,” katanya.