LAHAD DATU: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 41 individu serta merampas pelbagai barangan bernilai lebih RM2.7 juta menerusi operasi berasingan yang dijalankan di sini dan di Kunak sepanjang April tahun ini.
Batalion 17 PGA Lahad Datu dalam kenyataan memaklumkan seramai 20 individu ditahan membabitkan 19 lelaki dan seorang wanita, dengan 15 daripadanya warga tempatan manakala lima lagi warga asing.
Advertisement

Menurut kenyataan itu, sebanyak 16 serbuan dijalankan dengan 27 laporan polis direkodkan hasil penugasan Cawangan Risik serta Op Taring Esszone Kompeni A.
Pelbagai barangan bernilai lebih RM2 juta turut dirampas, termasuk dadah, ketum, produk sejuk beku, bahan buangan berjadual, barangan kawalan serta kenderaan.
“Antara kejayaan direkodkan ialah penahanan seorang warga asing bersama syabu seberat 32.15 gram di Tungku pada 6 April.
“Pada 8 April, dua lelaki tempatan ditahan di Silabukan bersama empat bungkusan serbuk ketum (4kg) dan 10 botol air ketum,” menurut PGA, menambah kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk tindakan lanjut.
Dalam operasi berasingan pada 17 April, pasukan itu menahan seorang lelaki tempatan di Batu 5 serta merampas lima tong dan 12 jerigen mengandungi kira-kira 1,240 liter diesel.
Kes itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk siasatan lanjut.
Di KUNAK, Batalion 22 PGA menahan 21 individu membabitkan 20 lelaki dan seorang wanita dalam beberapa operasi sepanjang April.
Daripada jumlah itu, 14 individu merupakan warga tempatan manakala enam lelaki warga asing, sementara seorang wanita ditahan adalah warga tempatan.
Menurut kenyataan PGA Kunak, sebanyak 11 serbuan dijalankan dengan pelbagai rampasan melibatkan kesalahan hasil penugasan Cawangan Risik dan Op Taring Esszone Kompeni A Batalion 22.
“Nilai keseluruhan rampasan yang direkodkan pada April berjumlah RM706,566.60 melibatkan pelbagai item, termasuk dadah jenis syabu, bahan buangan berjadual, produk sejuk beku, barangan kawalan seperti minyak masak, tong silinder gas, petrol dan diesel serta kenderaan,” menurut kenyataan itu, Selasa.
Dalam pada itu, pelaksanaan Op Tiris 4.0 meliputi kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 selaras usaha kerajaan memperkukuh penguatkuasaan undang-undang berkaitan krisis global.
Sebanyak enam kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Cawangan Semporna untuk tindakan lanjut.
Kesemua rampasan dan tangkapan sepanjang April 2026 melibatkan siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Imigresen 1959/63, Enakmen Haiwan Sabah 2015, Peraturan-Peraturan Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 serta Akta Kastam 1967.
Batalion 22 PGA Kunak turut merakamkan penghargaan atas kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Semporna, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Semporna dan Jabatan Alam Sekitar Tawau dalam menjayakan operasi berkenaan.
“Terima kasih juga kepada masyarakat yang terus menyalurkan maklumat,” menurut kenyataan itu.