Kota Kinabalu: Pengilang di Sabah menggesa agar perdagangan tukar barang atau ‘barter trade’ antara negeri ini dan Selatan Filipina dihidupkan semula bagi merancakkan ekonomi tempatan serta mengukuhkan hubungan perdagangan serantau.
Mereka percaya keadaan ekonomi semasa dan kestabilan serantau yang semakin baik menyediakan peluang tepat pada masanya untuk usaha terbabit dihidupkan kembali.
Advertisement

“Pemulihan semula laluan maritim ini akan menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan sektor pembuatan negeri serta komuniti perniagaan tempatan secara keseluruhan di samping menawarkan penyelesaian saling menguntungkan bagi kedua-dua wilayah,” kata Liaw Hen Kong (gambar) Pengerusi Sabah bagi Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA).
Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bahawa Kerajaan Negeri sedang mengkaji cadangan untuk menghidupkan semula perdagangan tukar barang antara Sabah dan Selatan Filipina.

Liaw berkata Sabah menghasilkan pelbagai produk makanan dan minuman, bahan pembinaan serta produk plastik yang mendapat permintaan tinggi di pasaran Filipina sekali gus membuka peluang pengembangan pasaran kepada pengilang tempatan.
“Disebabkan kedudukan geografi Sabah yang hampir dengan Selatan Filipina, kos logistik adalah jauh lebih rendah berbanding laluan antarabangsa lain.
“Ini memastikan barangan keperluan kekal mampu milik bagi komuniti di Selatan Filipina. Pengguna menikmati harga barangan yang lebih murah,” katanya.
Beliau menambah peningkatan aktiviti perdagangan akan merangsang pelabuhan tempatan, penyedia logistik serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sabah sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan hasil negeri seterusnya mengukuhkan ekonomi tempatan.
“Menyambung semula aktiviti perdagangan formal menggalakkan kerjasama diplomatik dan meningkatkan keselamatan serantau melalui saling kebergantungan ekonomi sekali gus mengukuhkan hubungan dua hala,” kata Liaw.
Beliau menegaskan kedudukan pasaran serantau yang berdekatan merupakan kelebihan ekonomi semula jadi yang telah lama tidak dimanfaatkan sepenuhnya dan dengan menghidupkan semula perdagangan tukar-barang, “kita bukan sekadar menjual produk malah menyokong kelangsungan hidup pengilang kita serta menyediakan keperluan mampu milik kepada jiran kita.”
Liaw turut berkata beliau akan mengetuai delegasi MPMA ke Zamboanga pada awal Julai untuk mengadakan perbincangan dengan Datuk Bandar Tawi-Tawi, Gabenor serta pemimpin industri.