Kota Kinabalu: Seorang pegawai pertanian dibebaskan daripada enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM22,300 tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Sesyen pada Khamis.
Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga membuat keputusan melepas dan membebaskan Zainal Aliasan, 36, yang bertugas dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di Keningau selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Zainal didakwa menerima wang tunai daripada seorang pemilik syarikat dengan mengetahui bahawa individu tersebut mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.
Wang berkenaan didakwa sebagai dorongan untuk membantu mempercepatkan bayaran tuntutan kepada syarikat terbabit.
Menurut pertuduhan wang antara RM2,050 hingga RM4,950 itu telah dimasukkan ke dalam beberapa akaun berbeza milik rakan-rakan tertuduh antara Mei hingga Julai 2020.
Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan yang bermula Februari 2024 pihak pendakwaan memanggil seramai 16 saksi selepas tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pada 20 September 2022.
Zainal sebelum ini digantung tugas susulan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkarnain Rousan manakala tertuduh diwakili peguam Azhier Farhan Arisin.