LAHAD DATU: Enam lelaki ditahan dan 10.68 gram syabu dirampas dalam operasi anti-dadah selama tiga hari yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) bersama Balai Polis Desa Kencana pada 8 hingga 10 Mei.
Ketua Polis Daerah ACP Dzulbaharin Ismail berkata tangkapan dibuat dalam beberapa operasi berasingan di sekitar Kampung Sungai Bilis di Tungku, belakang bangunan pasar raya di Jalan Reno Fajar dan di tepi jalan Jalan Kampung Puyut.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Beliau berkata hasil pemeriksaan polis menemui syabu yang disembunyikan di dalam beg, lipatan kertas serta poket seluar bersama peralatan dadah yang dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah.
“Ujian saringan air kencing awal mendapati lima daripada enam individu terbabit positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Semakan latar belakang turut mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Menurut Dzulbaharin, kesemua enam lelaki berusia antara 20 hingga 45 tahun itu kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12(2), Seksyen 39A(1), Seksyen 15(1)(a), Seksyen 9 dan Seksyen 37(b) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM1,060.
Dalam pada itu, Dzulbaharin berkata Kampung Puyut dikenal pasti sebagai kawasan panas selepas dua tangkapan direkodkan di lokasi itu dalam tempoh sehari dan polis tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti berkaitan dadah.
Beliau turut menggesa orang awam supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah kepada pihak polis dengan menghubungi 089-881255 sambil memberi jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.