KOTA KINABALU: Seramai 21 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu di bawah Ops Sapu yang dijalankan Jabatan Imigresen Sabah di sekitar bandar raya ini.
Operasi yang dijalankan di tiga premis itu membawa kepada penahanan 21 individu yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Advertisement

Menurut kenyataan jabatan itu pada Sabtu, seramai 40 individu diperiksa sepanjang operasi dijalankan.
“Daripada 21 warga asing yang ditahan, 19 adalah warga Filipina terdiri daripada empat lelaki, sembilan wanita, lima kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
“Dua lagi tahanan ialah warga Indonesia membabitkan seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan,” menurut kenyataan itu.
Semua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Operasi itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Jabatan dalam membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PTI) serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen di negeri ini.
Menurut jabatan itu, tindakan tegas akan terus diambil terhadap individu atau pihak yang didapati melindungi atau menggaji PTI dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa dokumen di kawasan masing-masing.
“Tiada tolak ansur akan diberikan kepada mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang, khususnya dalam perkara membabitkan keselamatan,” menurut kenyataan itu.