SEMPORNA: Seorang lelaki tempatan ditahan dan 265 liter petrol dirampas dalam satu operasi di perairan Pulau Siamil, di sini, Isnin.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata tangkapan dan rampasan itu dibuat oleh Pasukan Polis Marin menerusi Ops Tiris 4.0 sebelum diserahkan kepada KPDN Semporna untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Dalam operasi itu, lelaki tersebut gagal mengemukakan sebarang kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan untuk memiliki atau menyimpan barang kawalan tersebut. Sebuah bot laju, enjin dan tiga tong simpanan turut disita, menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM11,655.30.
KPDN Semporna telah membuka kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan memberi peringatan kepada individu serta syarikat supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan itu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat, kesalahan itu memperuntukkan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berulang.
Orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi KPDN melalui WhatsApp di 019-848 8000, talian pusat panggilan di 1-800-886-800, e-mel di e-aduan@kpdn.gov.my atau menerusi aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.