PAPAR: Pejabat Parlimen Papar membuat laporan polis berhubung kegiatan pihak tidak bertanggungjawab yang dipercayai menyamar sebagai pembantu peribadi (PA) atau wakil kepada Ahli Parlimen Papar merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, bagi tujuan penipuan.
Laporan itu dibuat Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Papar, Abd Rahim Aliudin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar susulan tindakan individu terbabit yang menggunakan nama serta kedudukan Armizan untuk memperdaya orang ramai menerusi mesej, panggilan telefon dan permintaan mencurigakan.
Advertisement

Abd Rahim berkata, antara modus operandi dikesan termasuk meminta wang, bantuan, sumbangan dan menguruskan hal peribadi dengan menggunakan alasan tertentu kononnya mewakili Ahli Parlimen Papar berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sebarang mesej atau panggilan meragukan, khususnya yang melibatkan transaksi kewangan atau permintaan bantuan tertentu menggunakan nama Datuk Armizan Mohd Ali.
“Ini kerana segala urusan rasmi berkaitan pejabat beliau hanya dibuat secara bertulis melalui surat-menyurat rasmi oleh Pejabat Parlimen Papar atau Pejabat Menteri KPDN serta melalui pegawai yang dipertanggungjawabkan sahaja,” katanya dalam kenyataan menerusi akaun rasmi Facebook Pejabat Perhubungan Parlimen Papar, di sini, 8 April lalu.
Beliau berkata laporan polis dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Sehubungan itu, katanya, masyarakat diminta segera mengabaikan mana-mana mesej atau panggilan mencurigakan serta melaporkannya kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa penipuan.
“Kerjasama orang ramai untuk menyebarkan peringatan ini amat dihargai sebagai langkah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap taktik scam yang semakin berleluasa menggunakan nama pemimpin atau pejabat rasmi,” tegasnya.
Terdahulu, beberapa tangkap layar mengenai cubaan penipuan menerusi aplikasi WhatsApp turut dikongsikan di akaun Facebook Pejabat Perhubungan Parlimen Papar.