LABUAN: Perlumbaan Regatta 3.0 menghangatkan Cabaran Sukan Laut Antarabangsa Labuan (LISC) 2026 dengan penyertaan memberangsangkan, sekali gus menyerlahkan Labuan sebagai destinasi sukan air antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail berkata perlumbaan tahun ini merekodkan jumlah penyertaan tertinggi berbanding tahun sebelumnya.
Pertandingan yang dikelolakan Kelab Pelayaran Victoria ini menghimpunkan seramai 72 peserta dari seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak, Perlis, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Johor.
Sebanyak 11 kategori dipertandingkan melibatkan acara optimist, Ilca dan windsurf dengan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai mencecah RM32,885.
“Edisi kali ini turut disertai atlet kebangsaan, Nur Ku Zarith Jaa’far dari Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) Putrajaya,” katanya.
Penglibatan atlet Sukan Malaysia (Sukma) turut memperkukuh kualiti persaingan pada edisi kali ini.
Perlumbaan Regatta 3.0 berlangsung selama tiga hari sehingga 3 Mei dengan pelepasan peserta disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perbandaran) Perbadanan Labuan Suhaimi Sainan.
Sementara itu, hampir 800 peserta menyertai Kejohanan Silat Pantai Antarabangsa Labuan yang menambah lagi kemeriahan LISC.
Kejohanan itu berlangsung sehingga hari ini (Ahad) di pantai Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.
Penyertaan membabitkan peserta dari negara BIMP-Eaga iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina.
“Seperti mana kita lihat di sini, penyertaan sangat menggalakkan dan saya percaya ramai lagi peserta yang akan menyertai pertandingan kita pada masa akan datang dan seperti mana kita sedia maklum Labuan ini memang kita ingin menjadikan sebagai destinasi pelancongan sukan di Borneo dan juga di negara kita,” katanya.
Majlis perasmian kejohanan itu yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.
Silat pantai menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM15,000. Pada kejohanan kali ini, peserta termuda yang mengambil bahagian adalah berumur lapan tahun dengan dua kategori dipertandingkan iaitu terbuka serta jurus bebas dan jurus ganda.
Hadir sama, Ahli Parlimen Labuan Dato’ Dr. Suhaili Abdul Rahman dan Yang Dipertua Pesaka Labuan, Mohd Khairul Ghani.