Kota Kinabalu: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun
(gambar) berpendirian tegas bahawa hak 40 peratus Sabah tidak boleh terus dilengah-lengahkan dengan alasan teknikal, termasuk keputusan ‘stay of execution’ oleh mahkamah.
Beliau menegaskan bahawa tindakan menangguhkan rundingan hanya mencerminkan kegagalan politik untuk menghormati hak yang telah lama termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Advertisement
_E.jpg)
“Jangan jadikan mahkamah sebagai alasan untuk tidak bertindak.
“‘Stay’ bukan bermaksud rundingan juga perlu dihentikan. Jika benar ada kesungguhan politik, rundingan mesti berjalan tanpa henti,” tegasnya.
Menurutnya, rakyat Sabah sudah terlalu lama menunggu hak yang sepatutnya dinikmati sejak dahulu lagi, namun terus dinafikan melalui pelbagai alasan yang tidak munasabah.
“Ini bukan tuntutan baharu. Ini hak yang telah lama tertangguh. Berapa lama lagi rakyat Sabah harus menunggu? Sampai bila hak ini mahu dipinggirkan?” ujarnya.
Advertisement

Beliau turut mengingatkan bahawa kegagalan menunaikan hak Sabah merupakan satu bentuk pengabaian terhadap rakyat negeri ini yang juga sebahagian daripada Malaysia.
“Rakyat Sabah bukan rakyat kelas kedua. Kita berhak mendapat pembelaan adil.
“Jangan biarkan rakyat terus terkesan hanya kerana kelemahan membuat keputusan di peringkat Persekutuan,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan pada Isnin membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah semakan semula kelayakan Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih yang diperoleh negeri itu bagi tempoh 1974 hingga 2021.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan sebulat suara membenarkan permohonan tersebut selepas berpuas hati bahawa Kerajaan Persekutuan berjaya membuktikan terdapat keadaan khas yang membolehkan penangguhan diberikan.
Sementara itu, mengulas isu subsidi diesel yang dipolitikkan oleh segelintir pihak, Azizah menolak keras naratif bahawa Sabah dan Sarawak menerima subsidi atas faktor politik semata-mata.
“Itu kenyataan tidak bertanggungjawab dan berniat memesongkan fakta.
“Hakikatnya hasil minyak datang dari bumi Sabah dan Sarawak. Jadi jangan pertikaikan hak kami untuk menerima manfaat daripada sumber sendiri,” tambahnya.
Sementara itu, Azizah turut membidas pihak tertentu yang mempertikaikan keistimewaan Sabah tanpa memahami realiti sebenar kos sara hidup di negeri ini.
“Walaupun ada subsidi, rakyat Sabah tetap menanggung kos hidup yang lebih tinggi akibat dasar seperti kabotaj dan kos logistik.
“Jadi jangan bercakap seolah-olah Sabah ini terlalu ‘dimanjakan’,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan Sabah wajar diberikan tambahan kerusi Parlimen bagi mencerminkan keluasan negeri serta keperluan rakyat yang semakin meningkat.
“Jika benar mahu berlaku adil, Sabah bukan sahaja perlu mempertahankan 25 kerusi sedia ada malah wajar ditambah. Kita sepatutnya menghampiri prinsip satu pertiga bersama Sarawak,” tegasnya.
Beliau turut menuntut agar penambahan kerusi tersebut membuka ruang lebih besar kepada kepimpinan wanita.
“Wanita bukan sekadar pelengkap. Wanita adalah kekuatan sebenar hampir separuh daripada pengundi negara.
“Jangan hanya beri kerusi, tetapi beri ruang untuk menang – bukan sekadar kerusi ‘korban’,” katanya.