SEMPORNA: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendakwa kira-kira 80 pusat penginapan haram di daerah ini menggaji pekerja asing tanpa dokumen serta mengkritik tindakan bekas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mempertahankan premis berkenaan.
Presiden Persatuan Bumiputera Bajau Semporna (Perbubas) Mansor Santiri berkata gesaan terbaru Mohd Shafie agar kerajaan melonggarkan syarat pelesenan bagi mengelakkan perobohan resort terbabit adalah ironik dan sukar diterima.
“Di mana suaranya ketika beliau menjadi Ketua Menteri dari 2018 hingga 2020? Pengusaha Bumiputera pernah bertemu beliau untuk merayu agar kelulusan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) dipercepatkan namun tidak diberi keutamaan,” katanya.
Mansor berkata ramai usahawan Bumiputera tempatan hanya memperoleh kelulusan pada 2024 di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekarang sambil menegaskan isu itu sebenarnya boleh diselesaikan lebih awal.
Beliau turut mendakwa pengusaha pelancongan haram yang kebanyakannya bukan Bumiputera dilihat menerima kelulusan lebih pantas pada masa lalu manakala pengusaha tempatan diketepikan.
Tambahnya terdapat petunjuk kemungkinan wujud pakatan sulit antara pihak tertentu dengan pengusaha haram dan amalan sedemikian menjejaskan kedaulatan undang-undang serta boleh mencemarkan imej negara.
“Mana-mana resort haram mesti ditutup dan dirobohkan. Apa gunanya undang-undang jika pengusaha haram dibenarkan terus beroperasi?” tegasnya.
Beliau menambah kegagalan mengambil tindakan bukan sahaja menyebabkan kerugian hasil cukai kepada kerajaan malah tidak adil kepada pengusaha yang mematuhi peraturan dan membayar cukai.
Mansor menegaskan undang-undang perlu dikuatkuasakan secara adil tanpa berat sebelah, sambil menggesa pihak berkuasa supaya tidak mempolitikkan isu pelesenan ketika pengusaha Bumiputera tempatan sudah lama terpinggir.