RANAU: Program Karnival Bola Sepak Tertutup Bawah 14 Tahun (B-14) Sabah sempena perasmian Kelab Bola Sepak Kinabalu Titans diadakan di padang Pai Wen di sini, baru-baru ini, menampilkan aksi sengit, sekali gus menjadi platform penting dalam mencungkil bakat muda bola sepak di negeri ini.
Majlis perasmian karnival itu disempurnakan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin yang turut menyatakan sokongan padu terhadap usaha pembangunan sukan akar umbi khususnya dalam kalangan generasi muda.
Advertisement
_E.jpg)
Dalam suasana penuh semangat kesukanan, sebanyak 10 pasukan menyertai kejohanan ini terdiri daripada Jubilo FC, Sunflower, Kinabalu Titans Premier, AFJ, Kinabalu Titans Super, Laba FC, Tabs, Bongkud FC, Old KK dan KTFC.
Penyertaan pelbagai pasukan dari sekitar Sabah jelas menunjukkan minat tinggi terhadap bola sepak di kalangan remaja, selain membuka ruang persaingan sihat dan pengalaman berharga buat pemain muda.
Program itu turut dihadiri Presiden Kelab Bola Sepak Kinabalu Titans, Nevillee Macklin yang juga seorang jurulatih berpengalaman, dan Presiden Kelab Clasico Ranau, Romzie Mohammad yang sentiasa komited dalam pembangunan bola sepak di peringkat komuniti.
Selain itu, kehadiran beberapa kakitangan Pejabat Parlimen Ranau turut memeriahkan program tersebut, sekali gus menunjukkan sokongan berterusan penganjuran aktiviti sukan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Advertisement

Karnival ini bukan sahaja sebagai arena pertandingan, malah menjadi platform pembinaan sahsiah, disiplin dan semangat berpasukan dalam kalangan peserta yang terlibat.