ADUN Kuamut Datuk Masiung Banah menggesa pendekatan lebih realistik dalam menangani kehadiran warga asing di Sabah, yang disifatkannya sebagai isu berlarutan lebih 50 tahun.
Berucap membahaskan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri pada Isnin, beliau berkata Sabah mencatat jumlah bukan warganegara tertinggi di Malaysia, dengan kira-kira 1.04 juta warga asing direkodkan setakat Ogos 2025, kebanyakannya datang dari Filipina dan Indonesia, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia.
Menurutnya, golongan itu boleh dikategorikan kepada beberapa kumpulan termasuk pendatang tanpa izin, pelarian perang pemegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci, kanak-kanak tanpa kerakyatan serta individu yang memperoleh kad pengenalan secara tidak sah atau meragukan.
Masiung menyatakan sokongan terhadap cadangan Kerajaan Persekutuan untuk mengeluarkan dokumen MyKAS kepada pelarian perang serta kanak-kanak tanpa kerakyatan.
“Daripada membiarkan mereka bekerja tanpa dokumen sah, sekurang-kurangnya dengan dokumen, mereka boleh bekerja, ekonomi mereka bertambah baik dan kehidupan keluarga lebih terjamin,” katanya.
Beliau berkata langkah itu juga berpotensi mengurangkan jenayah kecil dan serius berkaitan tekanan ekonomi selain membolehkan golongan berkenaan menyumbang kepada ekonomi negeri dan membayar cukai.
Katanya, sektor ekonomi Sabah seperti pertanian, pembinaan, perladangan, hospitaliti dan restoran akan terjejas sekiranya semua pekerja asing dihantar pulang secara mendadak.
Dalam pada itu, beliau mengemukakan beberapa cadangan untuk menangani isu tersebut dengan lebih berkesan:
l Kawalan sempadan lebih ketat, khususnya di pintu masuk laut di Tawau, Semporna, Sandakan dan Lahad Datu dengan penambahan aset radar, bot rondaan serta dron.
l Integriti kakitangan penguatkuasaan. Beliau menekankan bahawa pegawai penguat kuasa di pintu masuk sempadan mesti mempunyai integriti, kerana beliau difahamkan bahawa penyeludup sering memberi rasuah kepada pegawai.
l Pengambilan cap jari wajib bagi pendatang tanpa izin bagi mengelakkan kemasukan semula menggunakan identiti baharu.
l Pembayaran gaji pekerja asing melalui bank bagi memastikan ketelusan dan menjejak jumlah sebenar pekerja asing di Sabah.
“Kehadiran warga asing turut menyumbang kepada masalah setinggan, jenayah serta kerugian besar kepada kerajaan melalui kecurian bekalan elektrik dan air,” katanya.
Dengan itu, tambahnya, kerajaan negeri dan Persekutuan perlu memperkukuh kerjasama bagi mencari penyelesaian terbaik.
Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Masiung mencadangkan kerajaan negeri mendokumentasikan pencapaian kerana wujud persepsi bahawa tiada kemajuan dicapai.
“Itu tidak benar. Daripada 13 perkara di bawah MA63, sembilan telah berjaya dikembalikan di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan ketika ini, yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.
Beliau turut menyorot peningkatan ketara pemberian khas interim kepada Sabah daripada sekitar RM25 juta setahun sebelum 2022, kepada RM125 juta pada 2023, RM300 juta (2024) dan RM600 juta masing-masing pada 2025 dan 2026 di bawah kepimpinan sekarang.
Bagaimanapun, beliau menegaskan jumlah itu masih belum memadai berbanding tuntutan sebenar Sabah iaitu 40 peratus hasil seperti termaktub dalam MA63.
Mengulas tuntutan itu, beliau berkata keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan semakan kehakiman oleh Persatuan Undang-Undang Sabah mengecewakan rakyat negeri ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri meneruskan usaha melalui saluran diplomatik dan rundingan termasuk menerusi Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia.
Beliau berkata walaupun pembayaran penuh 40 peratus secara tunai sukar dilaksanakan, hubungan baik kepimpinan Sabah dengan Putrajaya diyakini mampu mencapai penyelesaian yang adil.