NABAWAN: Peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Jawatankuasa Keselamatan Dalam Bandar (JKDB) disifatkan amat penting sebagai penghubung utama antara masyarakat dengan kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nabawan, Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, kedua-dua jawatankuasa tersebut merupakan tulang belakang dalam memastikan pelaksanaan pembangunan di peringkat akar umbi berjalan dengan berkesan, selain menjaga keharmonian, keselamatan dan kebajikan komuniti setempat.
Advertisement

Abdul Ghani berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi JKKK/JKDB DUN Nabawan yang berlangsung di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Nabawan, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, semua Pengerusi JKKK yang dilantik perlu menggalas amanah dengan penuh integriti dan akauntabiliti, sentiasa peka terhadap keperluan masyarakat, bekerjasama sebagai satu pasukan yang mantap serta menjadi contoh teladan kepada penduduk setempat.
“Dalam era yang semakin mencabar ini, kita memerlukan kepimpinan yang bukan sahaja berwibawa, tetapi juga proaktif dan berpandangan jauh. Gunakan peluang ini untuk membawa perubahan positif kepada komuniti masing-masing,” katanya.
Abdul Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara pemimpin dan masyarakat amat penting sejajar dengan pelaksanaan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0 bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Sehubungan itu, Abdul Ghani menyeru semua pihak agar terus berganding bahu, memupuk semangat perpaduan dan mengutamakan kepentingan bersama demi pembangunan yang tersusun dan berterusan.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak urusetia daripada Pejabat Daerah Nabawan yang diketuai oleh Marshall Anthony atas kejayaan menganjurkan majlis tersebut dengan lancar.
“Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat. Semoga amanah yang diberikan kepada penerima watikah pelantikan dapat dilaksanakan dengan cemerlang demi kesejahteraan dan kemakmuran komuniti di daerah Nabawan,” katanya.