KUNAK: Seekor buaya tembaga jantan sepanjang 17 kaki 4 inci dengan anggaran berat sekitar 800kg ditembak mati oleh pasukan Jabatan Hidupan Liar (JHL) selepas dipercayai terlibat dalam kes serangan terhadap seorang pencari siput di sungai dekat Ladang Sri Kunak, Isnin.
Dalam kejadian pada 19 April itu kira-kira jam 2 petang, mangsa dilaporkan diserang buaya berkenaan ketika sedang mencari siput di kawasan sungai tersebut sehingga mengalami kecederaan parah di bahagian kaki.
Jabatan Hidupan Liar (JHL) dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 20 April, sebelum operasi pemantauan dan tindakan lanjut dijalankan.
“Bertindak atas maklumat, pasukan JHL telah memasang pancing buaya di lokasi kejadian pada 25 April sebagai usaha menangkap reptilia berbahaya itu,” kata Jabatan dalam kenyataan, Selasa.
Pada Isnin, pemeriksaan yang dijalankan membawa kepada penemuan buaya tersebut sebelum ia ditangkap dan ditembak mati di lokasi demi menjamin keselamatan penduduk setempat.
“Orang ramai dinasihat agar sentiasa berwaspada dan mengelakkan aktiviti di kawasan sungai yang dikenal pasti sebagai habitat buaya bagi mengelak sebarang risiko atau kejadian tidak diingini.