Fri, 1 May 2026
Headlines:
Advertisement
Formula asal 40 peratus mesti: Masidi
Published on: Thursday, April 30, 2026
Published on: Thu, Apr 30, 2026
By: Larry Ralon
Text Size:
Text:
Formula asal 40 peratus mesti: Masidi
Masidi berkata kerajaan negeri kekal berpandukan Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah menegaskan semula pendirian tegas bahawa formula asal bagi kelayakan pemberian khas 40 peratus negeri itu mesti dilaksanakan sepenuhnya, selain mendesak pembayaran termasuk bagi “tahun-tahun yang hilang”.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata kerajaan negeri kekal berpandukan Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Advertisement
“Kerajaan mengekalkan pendirian bahawa formula asal yang diperuntukkan di bawah Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan mesti dilaksanakan. 

“Oleh itu, adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa Kerajaan Sabah telah berkompromi,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi Kementerian Kewangan pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini, Rabu.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Menjawab pertanyaan Adun Kuamut, Tambunan, Merotai dan Sungai Sibuga, beliau mengakui jumlah pemberian khas yang diterima ketika ini masih jauh lebih rendah daripada hak Sabah di bawah formula perlembagaan.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat perkembangan ketara dari semasa ke semasa, dengan Sabah selama 48 tahun hanya menerima RM26.7 juta setahun tanpa sebarang kenaikan.

Advertisement
“Jumlah ini kini meningkat kepada RM125 juta pada 2022, RM300 juta (2023), RM306 juta (2024) dan seterusnya RM600 juta tahun lalu,” katanya.

Masidi berkata perkembangan itu mencerminkan keberkesanan pendekatan rundingan berterusan dan strategik kerajaan negeri, dengan bayaran interim yang meningkat membantu memperkukuh kedudukan kewangan negeri bagi membiayai pembangunan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Advertisement
Namun, beliau menegaskan bahawa bayaran tersebut bersifat sementara.

“Saya ingin menegaskan bahawa bayaran interim yang diterima oleh Kerajaan Sabah adalah tanpa prejudis terhadap hak negeri untuk menuntut ‘tahun-tahun yang hilang dan adalah berasaskan formula asal 40 peratus. 

“Bayaran ini hanyalah pengaturan sementara dan bukan jumlah mutlak Pemberian Khas yang sepatutnya diterima kerajaan,” katanya.

Beliau berkata walaupun penjelasan telah diberikan sebelum ini dalam sesi soal jawab minggu lalu, kerajaan terus mengemas kini Dewan berhubung perkembangan terkini rundingan.

Katanya, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Okt 2025, kerajaan negeri bertindak proaktif dengan menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas Persekutuan-Negeri di peringkat pegawai pada 17 Nov 2025.

“Dalam mesyuarat itu, Kerajaan Sabah membentangkan kaedah pengiraan Pemberian Khas, manakala Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk berkongsi data berkaitan,” katanya.

Menurutnya, dalam mesyuarat seterusnya pada 28 Jan 2026, skop komponen hasil Persekutuan dibincangkan dan Kerajaan Persekutuan diberi masa untuk melengkapkan data termasuk bagi ‘tahun-tahun yang hilang.

“Kedua-dua pihak bersetuju menggunakan pendekatan anggaran apabila data sebenar tidak lengkap, khususnya bagi tahun-tahun awal, selain menubuhkan jawatankuasa kerja untuk pengesahan silang data,” katanya.

Beliau berkata kemajuan lanjut dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa kerja pada 27 Feb dan 13 Mac 2026, apabila kedua-dua pihak membentangkan anggaran meliputi tempoh 1974 hingga 2025 serta menjalankan pengesahan data.

Pada masa sama, Sabah menegaskan pembayaran perlu dibuat terlebih dahulu bagi komponen hasil yang tidak dipertikaikan dan Pemberian Khas tidak boleh digantikan dengan perbelanjaan pembangunan Persekutuan.

“Selain itu, satu ketetapan rasmi perlu diwujudkan bagi menentukan kaedah pengisytiharan hasil oleh syarikat berpangkalan di Sabah serta syarikat bukan Sabah yang beroperasi di negeri ini tetapi mengisytiharkan hasil di luar Sabah,” katanya.

Mengenai pelaksanaan, Masidi berkata kerajaan negeri terbuka untuk perbincangan dalam memperhalusi penyelesaian yang konstruktif termasuk kaedah pembayaran yang sesuai.

Susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 April 2026, beliau berkata Sabah melalui surat bertarikh 10 April 2026 menegaskan penangguhan hanya melibatkan ‘tahun-tahun yang hilang’.

“Sehubungan itu, pembayaran bagi 2022 hingga 2025 serta tahun semasa perlu dilaksanakan segera selaras dengan formula 40 peratus di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Masidi menegaskan walaupun tidak semua perkembangan diumumkan, kerajaan sentiasa mengambil tindakan susulan.

“Hakikatnya setiap mesyuarat rundingan tidak terhenti pada perbincangan semata-mata, tetapi diikuti tindakan melalui surat-menyurat rasmi serta penegasan berterusan pendirian Sabah bagi mendesak tindakan segera oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata isu itu merentasi perbezaan politik, dengan kerajaan dan pembangkang sehaluan dalam memperjuangkan hak perlembagaan Sabah.

“Satu perkara asas yang boleh saya simpulkan ialah sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang, kita semua bersatu dalam perjuangan yang sama iaitu memastikan hak Pemberian Khas 40 peratus Sabah dilaksanakan segera oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here